Kejatuhan Turki Utmanniyah : Berakhirnya
Institusi Khilafah
"Peta
dan Kelengkapan Perang Uthmaniyah"
1.0 Pengenalan
Pembentukan kerajaan Turki merupakan proses sejarah yang panjang dan tidak
terjadi dengan tiba-tiba. Dalam sejarahnya selama lima abad iaitu bermula pada akhir
abad ke-13 hingga awal abad ke-19 kerajaan Turki Uthmaniyah telah mengalami
pasang surut. Pada satu sudut, dapat dilihat sebuah sistem politik yang
diwarisi dari Kerajaan Turki Saljuk dan mengalami perkembangan yang gemilang
dan akhirnya mengalami kemerosotan.
Empayar Turki Uthmaniyah telah diasaskan oleh Uthman 1 yang mengistiharkan
kemerdekaan wilayah Uthmaniyah pada tahun 1299. Wilayah ini mula berkembang
melalui penaklukan Constatinople oleh Muhammad Al-Fatih pada tahun 1453 dan
terus gemilang semasa pemerintahan Sulaiman Al-Qanuni. Namun selepas
kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni pada tahun 1566 berlaku kemerosotan dalam
empayar Turki Uthmaniyah. Malang yang menimpa ini adalah lantaran
kelemahan-kelemahan yang wujud dalam kerajaan Turki Uthmaniyah yang telah
membawa kepada kejatuhan empayar yang telah mencapai zaman kegemilangan.
Keruntuhan empayar yang telah mencapai kegemilangan ini merupakan peristiwa
yang kompleks bagi sebuah masyarakat Islam dari sebuah kerajaan menuju negara
moden. Pada proses keruntuhannya, Turki Uthmaniyah merupakan wilayah yang besar
meliputi semenanjung Balkan, Asia Kecil, Arab Timur Tengah, Mesir dan Afrika.
Namun, akibat daripada pelbagai faktor yang akhirnya membawa kepada kejatuhan
Empayar Uthmaniyah sehingga memberi kesan kepada negara-negara Islam di
sekitarnya yang turut terkena tempias akibat kemerosotan Turki Uthmaniyah.
2.0 Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa
aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam
kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan
empayar Turki Uthmaniyah.
2.1 Politik
Faktor politik merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki
Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan
kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan
yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki
Uthmaniyah.
Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan
kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan,
baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan
ini dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan
dan kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral. Contohnya, Sultan Murad III
telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang
anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim membunuh 100 000 orang dan menyaksikan
sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan sultan yang hidup
bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa
kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti.
Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan
Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan
pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya
adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan
antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan
kepimpinan yang menurun. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai
oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana. Kelemahan dalam
pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas
kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Turki
Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan Ibrahim dipengaruhi oleh
Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam pemerintahan untuk
menyingkirkan Wazir Agung Kara Mustafa. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan
Turki Uthmaniyah.
Pertahanan merupakan aspek terpenting dalam politik sesebuah negara. Oleh itu,
kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan
kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin
ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan. Hal ini disebabkan oleh pertandingan
ketenteraan yang sebenarnya telah ditinggalkan yang menyebabkan putera-putera
raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung kerana perkara
ini memberi kebebasan kepada para pegawai. Hal ini dapat dibuktikan dengan
perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilh bukan berdasarkan kemampuan yang
unggul. Di samping itu kelemahan ketenteraan juga dapat dilihat melalui
penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan.
Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba mejadi terbatas kerana seksyen
ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah membenarkan anak-anak
pegawai mendapat pangkat, lantas menghapuskan asas disiplin dalam tentera.
Jelaslah bahawa faktor politik yang akhirnya telah membawa kepada kejatuhan
empayar Turki Uthmaniyah.
2.2 Ekonomi
Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya
kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan
perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan. Hal ini dibuktikan
melalui jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar
untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara.
Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan
membebankan rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki
Uthmaniyah.
Perdagangan yang lembab menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.
Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki
Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang
semakin maju dalam bidang perdagangan. Hal ini dapat dibuktikan pada abad
ke-16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan
perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang
diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan
menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Selain itu, kemunduran
dalam ekonomi Tuki adalah akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti.
Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang
semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi
Turki Uthmaniyah. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram
dan menuju kejatuhan.
2.3 Sosial
Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan
rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah. Pemberontakan
merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana
tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan
dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak
Druze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota
yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar
menentang Austria, Poland dan Safavi. Pemberontakan ini mencetuskan masalah
dalaman yang teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.
Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang menyumbang
kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah menyerap dalam kalangan
pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi lumpuh disebabkan pemimpin yang
tamak haloba. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sulaiman sendiri meminta hadiah
daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu
juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut.
Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan
kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana
bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk
mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh
jawatan berkenaan. Oleh itu, rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan
empayar Turki Uthmaniyah.
Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi
kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran
khurafat, tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan
tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang
mungkar. Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral
dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan
para dayang yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa
permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki
Uthmaniyah.
2.4 Pengaruh Luar
Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki
Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah
telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku.
Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam
sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar
Turki Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada
saingan kuasa-kuasa Eropah.
Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan
kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan
dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar
bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah
menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang
melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin
terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy
dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada
tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.
Selain itu, siri perjanjian dengan negara Eropah yang akhirnya membawa kepada
kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan
Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan. Hal ini dapat dibuktikan
melalui Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718 menyebabkan
Turki kehilangan Timsuar, Belgrad, sebahagian besar negeri Serbia dan negeri
Rumania. Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki kepada
Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine kepada Russia
dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam setelah mengusainya
selama beberapa abad. Jelaslah pengaruh luaran merupakan punca kepada kejatuhan
kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan semula Eropah selepas
berlakunya zaman gelap.
3.0 Kesan Terhadap Negara-Negara Islam
Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada
negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan
petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah
berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal
Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.
3.1 Politik
Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain
dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam
kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan.
Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila
kejatuhan Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik
menyebabkan institusi khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada
suasana politik negara Islam. Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan
Kesultanan Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan
dalam sistem politik Turki. Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara
Iran di bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja,
sama dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan
sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.
Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di
bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah. Kelemahan Turki menyebabkan negara di
bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah.
Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan,
Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan
perpecahan negara umat Islam. Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah
Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi
Hijaz. Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa
Turki. Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara
Islam yang lain.
3.2 Ekonomi
Ekonomi negara-negara Islam turut mendapat kesan akibat daripada kejatuhan
empayar Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ekonomi Turki akibat perang kerana negara
terpaksa membuat perbelanjaan yang besar untuk biaya perang. Hal ini telah
menyebabkan negara Islam yang dahulunya di bawah pengaruh seperti Timur Tengah
dan Afrika Utara mengalami kemerosotan ekonomi. Negara Islam semakin teruk
terjejas ekonominya apabila selepas tamat Perang Dunia 1 kerana dengan
persetujuan Sykes-Picot 1916 wilayah Turki Uthmaniyah telah dibahagikan kepada
Perancis, Inggeris, Russia dan Itali. Hal ini menyebabkan ekonomi negara Islam
yang dibahagikan telah terjejas akibat daripada penguasaan orang Eropah.
Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah
menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan
perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai
ekonomi negara Islam. Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat
Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar
perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham. Selain itu,
penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah perniagaan
asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara Islam telah
melemahkan ekonomi negara Islam.
3.3 Sosial
Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat
kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada
kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki
telah menjadi ikutan negara Islam yang lain. Hal ini dapat dibuktikan
kepercayaan sosialis Fabian Qibti Salama Musa di Iran yang berpendapat bahawa kebudayaan
Barat menjadi kunci kepada reformasi sosial. Kebudayaan Barat ini telah
menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan
Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang
membawa kepada perpecahan umat Islam. Contohnya, Inggeris menggalakkan
pemisahan kaum Assyria dengan menubuhkan tentera khas untuk menindas kaum Kurdi
dan Turki yang tinggal di utara Iraq. Jelaslah bahawa perpaduan umat Islam mula
retak selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah.
4.0 Penutup
Turki Uthmaniyah mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri yang telah
melalui era kegemilangan, kemerosotan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan.
Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu
telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya
beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki.
Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk
mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik.
Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran
yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah
kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi
yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada
kebangkitan Eropah. Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah
dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi,
sosial dan politik. Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan
permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan keseniaan. Hal ini
dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu
faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan sehingga
rakyat golongan yang mementingkan hiburan dan keseronakkan. Oleh itu,
sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula
institusi Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.
Bibliografi
Badri Yatim, 2005, Sejarah Peradaban Islam, Jakarta, PT Rajagrafindo Persada.
Dusuk Ahmad, 1978, Ikhtisas Perkembangan Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Fadhlullah Jamil, 2007, Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan Pergolakkkan,
Shah Alam, Karisma Publications Sdn. Bhd.
Hamka, 1977, Sejarah Umat Islam, Kuala Lumpur, Penerbit Pustaka Antara.
Lois A. Aroian dan Richard P. Mitchell, 1991, Timur Tengah dan Afrika Utara
Moden, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mariana Adnan dan J.U Bracus, 2002, Ensiklopedi Ternatis Dunia Islam Khilafah
(2), Jakarta, PT Ichtiar Baru Van Hoeve.
Marshall G.S Hodgson, 2004, Kebangkitan Islam, Gambaran & Sejarah Dalam
Tamadun Dunia Edisi Empayar Sebuk Letupan dan Zaman Moden, Jilid III, Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhd. Jamil Mukmin, 1992, Sejarah Perkembangan Islam, Kuala Lumpur, Nurin
Enterprise.
Syafiq A. Mughni, 1996, Sejarah Kebudayaan Islam di Kawasan Turki, Surabaya,
Fakulti Arab Ain Sunan Ampel.