Sunday, 15 September 2013

Bahagian Ibadah Semester 1 - Keistimewaan Syariah Islam

Semester 1 - Ibadah
Keistimewaan Syariah Islam

STANDARD KANDUNGAN :
Memahami dan menjelaskan hukum-hukum Islam dalam bidang ibadah
STANDARD PEMBELAJARAN:
Menjelaskan asas hukum dan keistimewaan Syariah Islamiah
KRITERIA PENCAPAIAN :
1.     Menyatakan takrif hukum-hukum berikut:
a)     Wajib
b)    Sunat
c)    Haram
d)    Makruh
e)     Harus
 
2.     Menyatakan keistimewaan syariah Islamiah berdasarkan perkara-perkara berikut
a)    sempurna dan lengkap.
b)    sesuai sepanjang zaman.
c)    tidak membebankan.
d)    adil.
 
3.     Meyakini keadilan hukum Allah SWT.
MASA :
40
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyatakan takrif hukum-hukum berikut:
1.     Wajib
2.     Sunat
3.     Haram
4.    Makruh
5.     Harus
1.    Wajib: Perkara yang diberi pahala apabila melakukannya dan berdosa apabila meninggalkannya.Contoh: Solat lima waktu dan menunaikan haji
2.    Sunat: Perkara yang diberi pahala apabila melakukannya dan tidak berdosa apabila meninggalkannya. Contoh: Solat Sunat Tarawih.
3.    Harus: Perkara yang tidak diberi melakukannya dan tidak berdosa meninggalkannya. Contoh: Makan dan minum.
4.    Makruh: Perkara yang diberi pahala apabila meninggalkannya dan tidak berdosa apabila melakukannya. Contoh: Memakan makanan berbau busuk.
5.    Haram: Perkara yang berdosa apabila melakukannya dan diberi pahala apabila meninggalkannya.
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyatakan keistimewaan syariah Islamiah berdasarkan perkara-perkara berikut
1.    sempurna dan lengkap.
2.   sesuai sepanjang zaman.
3.    tidak membebankan.
4.    adil.
1.    Sempurna dan Lengkap: Syariah Islamiah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia iaitu ibadat, muamalat, munkahat dan perundangan.
2.    Sesuai sepanjang zaman dan tempat: Syariah Islamiah sesuai diamalkan pada bila-bila masa dan tempat dalam semua situasi dan keadaan.
3.    Tidak membebankan: Syariat Islamiah sesuai dengan kemampuan manusia. Islam mengambil kira keadaan-keadaan tertentu semasa melaksanakan perintah Allah. Contohnya: apabila seseorang itu tidak mampu berdiri dia boleh bersolat dalam keadaan duduk.
4.     Adil: Syariat Islam tidak membezakan taraf hidup, pangkat dan kedudukan manusia dalam hukum hakamnya.
KRITERIA PENCAPAIAN :
Meyakini keadilan hukum Allah SWT.
1.    Yakin kepada semua hukum dan perintah Allah SWT adalah adil dan sesuai dilaksanakan.
2.    Melaksanakan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan -Nya.
CADANGAN AKTIVITI
1.     Sumbang saran contoh-contoh hukum.
2.     Soal jawab maksud hukum-hakam dalam Islam.
CADANGAN PENTAKSIRAN
1.     Senaraikan hukum-hukum dalam Islam berserta contoh.
2.     Terangkan pengertian hukum wajib.
3.     Jelaskan perbezaan antara wajib dan sunat.
4.     Senaraikan keistimewaan Syariat Islamiah.

Bahagian Akidah Semester 1 - Rukun Islam Dan Rukun Iman

Semester 1 - Akidah
Rukun Islam Dan Rukun Iman
STANDARD KANDUNGAN :
Memahami dan meyakini rukun Islam dan rukun iman.
STANDARD PEMBELAJARAN:
Menjelaskan rukun Islam dan rukun Iman
KRITERIA PENCAPAIAN :
1.    Menyatakan tujuan manusia dihidupkan di muka bumi.
2.     Menyenarai rukun Islam dengan betul.
3.     Menyenarai rukun iman dengan betul.
4.     Menyatakan akibat tidak meyakini rukun iman.
5.    Sentiasa menjaga keimanan.
MASA :
 
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyatakan tujuan manusia dihidupkan di muka bumi.
Mengabdikan diri kepada Allah (surah az-Dzariyat: 56)


56. Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
i.                 Menjadi khalifah di atas muka bumi (surah al-Baqarah: 30)


 
30. Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyenarai rukun Islam dengan betul.
1.        Mengucap dua kalimah syahadah
2.        Mendirikan solat
3.        Mengeluarkan zakat
4.        Berpuasa di bulan Ramadan
5.        Menunaikan haji bagi yang mampu
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyenarai rukun Iman dengan betul.
1.        Beriman kepada Allah
2.        Beriman kepada Malaikat
3.        Beriman kepada Kitab
4.        Beriman kepada Rasul
5.        Beriman kepada hari kiamat
6.        Beriman kepada qada` dan qadar
KRITERIA PENCAPAIAN :
Menyatakan akibat tidak meyakini rukun iman.
1.        Iman akan terbatal.
2.      Mudah untuk melakukan dosa..
3.      Dimurkai oleh Allah SWT.
4.      Kekal di dalam azab neraka.
KRITERIA PENCAPAIAN :
Sentiasa menjaga keimanan.
Istiqamah melaksanakan perintah-perintah Allah
Mengawal diri daripada melakukan perbuatan keji dan munkar
Berusaha menambah ilmu agama dengan menghadiri majlis-majlis ilmu dan mendampingi orang saleh
CADANGAN AKTIVITI
1.      Soal jawab tujuan manusia dihidupkan di dunia.
2.      Sumbang saran berkenaan rukun iman dan rukun Islam.
3.      Aktiviti kesenian Islam seperti nasyid, pantun, puisi dab berlakon.
4.      Menyediakan folio berkaitan akibat tidak meyakini rukun iman.
CADANGAN PENTAKSIRAN
1.      Nyatakan tujuan manusia dihidupkan di muka bumi.
2.      Senaraikan rukun Islam dengan betul.
3.      Senaraikan rukun Iman dengan betul.
4.      Nyatakan akibat tidak meyakini rukun iman.
5.      Menyediakan folio berkaitan akibat tidak meyakini rukun iman.

Saturday, 14 September 2013

Tazkirah - Tanda Kematian Mulia

15 Tanda Kematian Mulia



KEMATIAN Micheal Jackson (MJ) mengejutkan dunia. Dunia menangis kerana kehilangan seorang insan seni yang hebat. Begitulah resam dunia akan mengenang selepas ketiadaan seseorang. Lagi banyak jasa yang ditinggalkan lagi ramai orang merasakan kehilangan kita. Kali ini bukan kita nak bincangkan jasa MJ tetapi kita perkatakan mengenai kematian mengejut.

Itu yang patut kita tanya diri kita, bagaimana ketika kita mengakhiri kehidupan kita nanti dalam 'husnul khatimah' ataupun 'su'ul khatimah.'  Katanya, kematian MJ masih lagi menjadi teka-teki. Mati ketika yang tiada bekalan dan persediaan adalah amat menakutkan. Pernahkah kita meminta supaya kita dimatikan dengan penutup yang baik 'husnul khatimah'?

Sebenarnya bukan kena minta sahaja tetapi kena buru dan kena cari. Kali ini kita bincangkan tanda-tanda mati husnul khatimah. Antara tanda mati husnul khatimah ialah:

1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: "Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya." (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas'ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:

"Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur." (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.


Rasulullah bersabda, maksudnya: "Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?


Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: "Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit."

Kalangan sahabat kembali bertanya: "Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid."(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:

Rasulullah bersabda, maksudnya: "Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim." (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: "Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah." (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': "Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid." (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: "Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid." (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. "Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid." (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa'i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. "Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid."

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur)."

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Kolej Vokasional Butterworth

Tazkirah - Pahala Taat Ibu Bapa

Pahala Mentaati Ibu Bapa Melebihi Jihad Fisabilillah
Ramai tak sedar jarang bertanya khabar kepada orang tua di kampung dikira menderhaka

RAMAI anak yang tidak mengaku apabila dituduh menderhaka kepada ibu bapa. Namun, siapa yang dapat menafikan kebenaran ayat Allah dan hadis Rasulullah SAW yang menyimpulkan bahawa termasuk dosa besar yang kedua selepas syirik ialah apabila seseorang melupakan tanggungjawab menjaga kedua orang tua.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya, apabila salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu." a33; (Surah Al-Isra' ayat 23)

Rasulullah SAW lebih jelas menegaskan mengenai dosa besar ini di dalam sabdanya yang bermaksud: Mahukah kamu aku khabarkan tentang dosa besar? Kami (sahabat menjawab: Ya, tentu wahai Rasulullah. Beliau bersabda: "Ada tiga, iaitu menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan ucapan dusta dan kesaksian dusta, Baginda mengulanginya berkali-kali sehingga kami berkata mudah-mudahan baginda diam." a33; (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Semua anak mengaku mereka sudah memenuhi hak kedua ibu bapanya walaupun hati tak merindu, jauh sekali khuatir, sedih dan pilu mengenang keuzuran kedua orang, pemegang kunci syurga mereka di akhirat nanti. Bahkan anak dunia itu seolah-olah tidak mahukan akhirat.

Lantas mereka lalai dan lupa akibat mengejar cita-cita dunia sehingga tak tersisa sedikit pun ruang untuk ayah dan ibu di dalam hati. Hati yang sentiasa sibuk, memberi kesan pada wajah mereka yang kian suram apabila berdepan dengan ayah dan ibu. Mereka lebih rela menjadi tanda-tanda dekatnya kiamat dengan berlaku derhaka daripada harus menanggung beban hidup bersama orang tua.

Pelbagai alasan dicipta untuk menghalalkan keuzuran mereka daripada menjaga ibu bapa, tetapi di sudut hati nurani anak-anak manusia siapakah kiranya yang boleh melepaskan diri daripada kenangan kasih sayang ibu bapa ketika kecilnya.

Mereka juga berselindung di sebalik amal salih yang lain, sebahagiannya ahli tahajjud, setia membaca al-Quran, ahli masjid, istiqamah mengerjakan haji dan umrah, ahli sedekah dan puasa. Tetapi, mereka membuat hati ibu bapa menangis, jiwa mereka terdera dan impian hari tua yang indah bagi mereka hancur berkecai.

Padahal keutamaan berkhidmat kepada orang tua melebihi pahala jihad fisabilillah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas'ud beliau berkata: "Saya bertanya kepada Nabi SAW. "Amalan apakah yang paling disukai oleh Allah SWT? Baginda bersabda: "Solat pada waktunya, saya bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbuat baik kepada kedua orang tua. Saya bertanya: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjihad di jalan Allah." a33; (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ironinya mereka mengejar pahala ibadat sunat tetapi yang wajib ditinggalkan. Kewajipan berkhidmat kepada ibu bapa mereka dianggap bukan ibadat melainkan hanya adat kehidupan manusia. Maka jika mereka lalai mengingati kedua-duanya, tidak ada kekesalan di dalam hati, tidak rasa berdosa dan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sungguh penyelewengan yang tidak disedari, melainkan apabila keduanya kembali ke rahmatullah. Lalu anak-anak itu secara tabienya menjadi ibu dan bapa generasi baru. Dia merasai sakit menjaga dan mendidik anak seperti ibu bapa dulu. Akhirnya dia sedar betapa seksa diderhaka dan dibuang bagaikan al-Quran usang.

Bukan hanya ibu bapa yang terguris hati, Rasulullah SAW pun pernah menitiskan air mata mendengar pengaduan seorang lelaki tua mengenai anaknya yang menderhaka. "Wahai Rasulullah, anakku telah aku didik tetapi setelah dewasa dia menzalimiku. Lelaki itu kemudian menyatakan kesedihannya dengan untaian syair yang memilukan:

"Ketika engkau masih kecil, tangan ini yang memberimu makan.

"Engkau minum juga aku yang tuangkan. Apabila dirimu sakit, aku berjaga semalaman.

"Kerana sakitmu itu aku mengeluh kerisauan. Tetapi, di saat engkau dewasa dan mencapai tujuan.


"Kulihat pada dirimu apa yang tak ku harapkan. Kau balas aku dengan kekasaran.

"Seakan-akan nikmat dan anugerah engkau yang berikan."

Mendengar bait-bait syair lelaki tua itu, berlinanganlah air mata Rasulullah SAW seraya bersabda yang bermaksud: Kamu dan hartamu milik ayahmu." a33; (Ditakhrij oleh Ibnu Majah 2357, Imam Ahmad dalam al-Musnad 6883, Ibnu Hibban dalam sahihnya 409, 4182. Al-Baihaqi dalam al-Sunan 16054)

Pelbagai takrifan diberi ulama mengenai tanda-tanda derhaka kepada orang tua seperti memutuskan hubungan dengan tidak mahu menziarahi mereka, tidak memberi nafkah, tidak memenuhi hak-hak mereka dan tidak mentaati mereka pada hal yang bukan bermaksiat kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kasih sayang yang paling ikhlas tanpa syarat hanyalah kasih sayang ibu bapa. Anak yang salih dituntut untuk membalas jasa mereka dengan adab dan akhlak yang baik. Kadang-kadang seulas senyuman dan kata-kata yang lembut lebih berharga daripada wang ringgit serta barangan berharga.

Namun tidak dinafi juga kepentingan hadiah sebagai pengikat jiwa. Sikap mementingkan diri sehingga membiarkan ibu bapa hidup susah di sebalik kemewahan seorang anak sememangnya menunjukkan sifat tidak mengenang budi. Jika boleh dihitung berapa juta ringgit yang mesti dibayar, sudah tentu jasa ibu bapa tak akan terbayar dengan sebarang jenis mata wang pun di dunia ini.

Kolej Vokasional Butterworth

Friday, 13 September 2013

Tazkirah - Ganjaran Dan Amalan Pada Hari Jumaat


Ganjaran Amalan Digandakan Pada Jumaat
 
JUMAAT adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Ia adalah hari untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah.

Umat Islam bukan saja melakukan ibadat harian wajib seperti solat fardu, bahkan Nabi Muhammad saw menganjurkan beberapa ibadat sunat yang dapat menambahkan ketakwaan kepada Allah. Antara ibadah itu adalah:


1. Membaca surah as-Sajdah pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat Allah.


Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: Apabila anak cucu Nabi Adam membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: "Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka, bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka." (Hadis riwayat Abu Daud)

2. Membaca surah al-Kahfi.

Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah sepanjang minggu itu.

Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat." (Hadis riwayat Baihaqi)

3. Membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi

Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi pada Jumaat adalah kasih sayang dari Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud:

”Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkan berselawat ke atasku, kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku." Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-Nya yang soleh.

Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar.

Pentingnya sembahyang Jumaat, Nabi memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”

Kolej Vokasional Butterworth