Sejarah Kolej Vokasional Butterworth


Sekolah Menengah Vokasional & Teknik Butterworth

Kolej ini dibuka pada 27hb. April 1958 dan dinamakan Sekolah Pertukangan Luar Bandar (Rural Trade School) untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar di negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai, yang telah tamat persekolahan darjah 6 untuk mempelajari “Ilmu pertukangan kayu dan logam”. Kumpulan pertama pelajar-pelajar yang belajar di sekolah ini ialah seramai 50 orang di bawah kelolaan seorang Guru Besar dan 5 orang guru.

Dua tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1960, sekolah ini ditukar namanya kepada “Sekolah Lanjutan Kampung”. Mata pelajaran-mata pelajaran yang diajar juga mengalami perubahan iaitu Ilmu Hisab, Ilmu Alam, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Rendah diajar di samping pelajaran mengenai “menternak ayam dan memelihara kambing”.

Kumpulan pertama pelajar-pelajar Sekolah Lanjutan Kampung ini yang seramai 44 orang mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dalam tahun 1962. Daripada jumlah tersebut 5 orang mendapat pangkat ‘A’ dan 12 orang mendapat pangkat ‘C’.

Dalam tahun 1968, sekali lagi nama sekolah ini ditukar namanya kepada Sekolah Menengah Vokasional, Telok Air Tawar, Butterworth yang kekal hingga tahun 1996. Mulai tahun 1997 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Teknik, Telok Air Tawar, Butterworth. Tidak syak lagi, sekolah ini merupakan salah sebuah Sekolah Menengah Vokasional atau Teknik yang tertua di negara ini. Selaras dengan perkembangan semasa Sekolah Menengah Teknik Butterworth telah ditukarkan kembali kepada Sekolah Menengah Vokasional pada tahun 2010.

Selaras dengan transformasi sistem pendidikan teknik dan vokasional, Sekolah Menengah Vokasional Butterworth dikenali dengan nama Kolej Vokasional Butterworth pada tahun 2013. Tempoh pengajian di Kolej Vokasional ialah selama empat tahun yakni 8 semester. Pelajar lepasan Kolej Vokasional berpeluang menceburi alam pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari atau melanjutkan pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Vokasional.

Di antara objektif kewujudan Kolej Vokasional ialah ingin melahirkan pelajar berkompetensi pekerjaan aras tinggi dan menepati kehendak industri, memupuk watak profesional, membekalkan ilmu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan memupuk kecintaan kepada pembelajaran sepanjang hayat.