Keadaan Manusia Di Padang Mahsyar
BAGAIMANAKAH cara manusia ke Padang Mahsyar? Bagi menjelaskan
perkara ini, Allah berfirman pada ayat 86, Surah Mariam; ayat 102, Surah Taha
dan ayat 97, Surah al-Isra'. Ayat itu maksudnya menyatakan bahawa cara manusia
ke Padang Mahsyar ada tiga bahagian:
Orang yang pergi dengan berkenderaan iaitu orang bertakwa.
Orang yang berjalan kaki dan keadaan muka mereka biru keruh,
kerana hati masing-masing sebak dengan kedukaan, iaitu orang yang mati dalam
keadaan berdosa.
Orang yang berjalan dengan mukanya, sambil matanya tidak dapat
melihat sesuatu yang menyukakannya. Lidahnya tidak dapat menuturkan hujah atau
alasan yang boleh diterima daripadanya dan telinganya tidak dapat mendengar
perkara yang menyenangkan hatinya.
Mereka ialah orang yang pada masa hidup di dunia tidak berusaha
menggunakan matanya, lidahnya dan telinganya untuk mencapai kebahagiaan
akhirat.
Cara itu diterangkan pula oleh Rasulullah SAW dalam hadis
berikut:
Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah bersabda bermaksud:
"Manusia yang dihimpunkan ke Padang Mahsyar pada hari
kiamat adalah tiga golongan.
"Pertama golongan yang berjalan kaki; kedua, golongan
berkenderaan dan ketiga, golongan yang berjalan dengan (berkakikan)
mukanya."
Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana mereka dapat
berjalan dengan mukanya?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya Tuhan yang
telah menjadikan mereka boleh berjalan dengan kaki, berkuasa menjadikan mereka
berjalan dengan muka mereka." (Hadis riwayat at-Tarmizi).
Bagaimana pula keadaan manusia ketika pergi dan berada di Padang
Mahsyar?
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya!
Kamu sekarang telah datang kepada Kami dengan keadaan sebatang kara seperti
keadaan Kami ciptakan kamu keluar dari perut ibu kamu dulu, tidak berkain baju,
tidak berkasut, tidak berkhatan dan tidak berharta benda." (Surah
al-An'am, ayat 94).
Dan firman-Nya lagi pada ayat 29 Surah al-A'raf, maksudnya:
"Sebagaimana Tuhan telah mulakan penciptaan kamu dengan keadaan yang
tertentu, maka demikianlah pula kamu bangkit hidup kembali kepada Tuhan."
Mengenai keadaan yang disebut itu, Rasulullah menerangkan dalam
hadis berikut:
Daripada Ibn Abbas, katanya, Rasulullah berdiri berucap kepada
kami, sabdanya:
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kamu dihimpunkan di
Padang Mahsyar dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan berkulup."
(Kemudian Baginda membaca firman Allah bererti: Seperti Kami ciptakan manusia
pada mulanya, demikian pula Kami ulangi ciptaannya, itulah janji yang
sesungguhnya Kami akan lakukan) Ketahuilah! Sesungguhnya orang yang mula-mula
sekali diberi pakai pakaian pada hari kiamat ialah Ibrahim al-Khalil."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada Aisyah, bahawa Nabi bersabda: "Dihimpunkan manusia
di Padang Mahsyar pada hari kiamat dengan keadaan berkaki ayam, bertelanjang
dan berkulup." Aisyah berkata: "Ya Rasulullah! adakah orang perempuan
dan lelaki semuanya melihat satu sama lain?" Nabi menjawab: "Wahai
Aisyah! Kedahsyatan keadaan pada masa itu menghalang masing-masing daripada
melihat satu sama lain." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Pada satu riwayat oleh al-Nasa'i dan al-Haakim daripada Aisyah,
katanya: Aku bertanya: "Ya Rasulullah! Bagaimana pula keadaan aurat?"
Nabi menjawab: "Tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal
menjaga keselamatan dirinya saja."
Maksud dua hadis itu ialah Rasulullah menerangkan bahawa manusia
akan ke Padang Mahsyar dengan keadaan sebagaimana Tuhan menjadikan mereka
keluar dari perut ibu dulu - tidak berpakaian, tidak berkasut dan tidak
berkhatan.
Mendengarkan keterangan itu, Saidatina Aisyah bertanya:
"Bagaimana hal aurat masing-masing ya Rasulullah! Adakah orang lelaki dan
perempuan memandang satu sama lain?"
Rasulullah menjawab: "Wahai Aisyah! Kedahsyatan huru-hara
kiamat menghalang manusia dari memandang satu sama lain, usahkan hendak
memerhatikan aurat, tiap-tiap seorang pada masa itu cukup sibuk dengan hal
menjaga keselamatan dirinya saja.”
Nabi Muhammad menerangkan lagi bahawa orang yang
mula-mula sekali diberi memakai pakaian antara makhluk yang ramai itu ialah
Nabi Ibrahim.
Ingin Menjana Pendapatan Sampingan Klik Di Sini http://www.theweeklypay.com/index.php?share=233973
Ingin Menjana Pendapatan Sampingan Klik Di Sini http://www.theweeklypay.com/index.php?share=233973