6 : Ikhlas
Sifat ikhlas ialah
menumpukan niat bagi setiap ibadah atau kerja yang dilakukan semata-mata kerana
Allah s.w.t. dan diqasadkan (niat) untuk menjunjung perintah semata-mata
serta membersihkan hati dari dosa riya’ , ujub atau inginkan pujian manusia.
Firman Allah s.w.t. di
dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Padahal mereka
tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t. dengan
mengikhlaskan ibadah kepadanya , lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya
mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat dan yang demikian itulah agama
yang benar “.
( Surah Al-Bayyinah – Ayat 5 )
Setiap pekerjaan yang
dilakukan hendaklah dibersihkan daripada sesuatu tujuan yang lain daripada taat
kepada perintah Allah s.w.t. Hendaklah dibersihkan niat daripada sebab-sebab
yang lain dari sifat-sifat yang keji ( sifat mazmumah ) seperti riya’ , ujub ,
inginkan kemasyhuran dan lain-lain lagi. Dalam meninggalkan larangan Allah
s.w.t. hendaklah diniatkan untuk taat semata-mata bukan kerana malu kepada
makhluk atau sebagainya.
Tawakkal Iaitu menetapkan hati dan berserah kepada Allah pada segala perkara yang berlaku serta jazam (putus) pada i`tiqad bahawa Allah subhanahu wata‘ala yang mengadakan dan memerintahkan tiap-tiap sesuatu.
Berserah kepada Allah pada
segala perkara itu hendaklah disertakan dengan ikhtiar dan usaha kerana Allah
menjadikan sesuatu mengikut sebab-sebabnya, seperti dijadikan pandai kerana
belajar, dijadikan kaya kerana rajin berusaha atau berjimat cermat dan
sebagainya.
8 : Mahabbah
Mahabbah - Iaitu kasihkan Allah subhanahu wata‘ala dengan mengingatiNya pada setiap masa dan keadaan.
Kasihkan Allah ialah dengan segera melakukan segala perintahNya dan berusaha mendampingkan diri kepada Allah dengan ibadah-ibadah sunat dan bersungguh-sungguh menghindari maksiat serta perkara-perkara yang membawa kemarahanNya.
9 : Sifat Redha
Sifat redha adalah daripada sifat makrifah dan mahabbah kepada Allah s.w.t.
Pengertian redha ialah menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah s.w.t. baik berupa peraturan ( hukum ) mahupun qada’ atau sesuatu ketentuan daripada Allah s.w.t.
Redha terhadap Allah s.w.t terbahagi kepada dua :
- Redha menerima peraturan (hukum) Allah s.w.t. yang dibebankan kepada manusia.
- Redha menerima ketentuan Allah s.w.t. tentang nasib yang mengenai diri.
Redha Menerima hukum Allah
s.w.t. :
Redha menerima hukum-hukum Allah s.w.t. adalah merupakan manifestasi daripada kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak merasa terpaksa atau dipaksa.
Merasa tunduk dan patuh dengan segala kelapangan dada bahkan dengan gembira dan senang menerima syariat yang digariskan oleh Allah s.w.t. dan Rasulnya adalah memancar dari mahabbah kerana cinta kepada Allah s.w.t. dan inilah tanda keimanan yang murni serta tulus ikhlas kepadaNya.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Tetapi tidak ! Demi Tuhanmu, mereka tidak dipandang beriman hingga mereka menjadikanmu ( Muhammad ) hakim dalam apa yang mereka perselisihkan di antara mereka, kemudian mereka tidak merasa sempit dalam hati mereka tentang apa yang engkau putuskan serta mereka menyerah dengan bersungguh – sungguh “. ( Surah An-Nisaa’ : Ayat 65 )
Pada dasarnya segala perintah-perintah Allah
s.w.t. baik yang wajib mahupun yang Sunnah ,hendaklah dikerjakan dengan senang
hati dan redha. Demikian juga dengan larangan-larangan Allah s.w.t. hendaklah
dijauhi dengan lapang dada .
Itulah sifat redha dengan hukum-hukum Allah s.w.t. Redha itu
bertentangan dengan sifat dan sikap orang-orang munafik atau kafir yang benci
dan sempit dadanya menerima hukum-hukum Allah s.w.t.Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (yang munafik) berkata kepada orang-orang yang di benci terhadap apa-apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t. ‘Kami akan tuntut kamu dalam sebahagian urusan kamu ‘,Tetapi Allah mengetahui rahsia mereka “. (Surah Muhammad : Ayat 26)
Andaikata mereka ikut beribadah, bersedekah atau mengerjakan sembahyang maka ibadah itu mereka melakukannya dengan tidak redha dan bersifat pura-pura. Demikianlah gambaran perbandingan antara hati yang penuh redha dan yang tidak redha menerima hukum Allah s.w.t. , yang mana hati yang redha itu adalah buah daripada kemurnian iman dan yang tidak redha itu adalah gejala nifaq.
Redha Dengan Qada’ :
Redha dengan qada’ iaitu merasa menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun berupa musibah ( malapetaka ). Didalam hadis diungkapkan bahawa di antara orang yang pertama memasuki syurga ialah mereka yang suka memuji Allah s.w.t. . iaitu mereka memuji Allah ( bertahmid ) baik dalam keadaan yang susah mahupun di dalam keadaan senang.
Diberitakan Rasulullah s.a.w. apabila memperolehi kegembiraan Baginda berkata :
”Segala puji bagi Allah yang dengan nikmatnya menjadi sempurnalah kebaikan “.
Dan apabila kedatangan perkara yang tidak menyenangkan , Baginda mengucapkan :
” Segala puji bagi Allah atas segala perkara “.
Perintah redha menerima ketentuan nasib daripada
Allah s.w.t. dijelaskan didalam hadis Baginda yang lain yang bermaksud :
” Dan jika sesuatu kesusahan mengenaimu janganlah engkau berkata: jika
aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan
hendakalah kamu katakan : Allah telah mentaqdirkan dan apa yang ia suka , ia perbuat
! ” Kerana sesungguhnya perkataan : andaikata… itu memberi peluang pada syaitan
” . (Riwayat Muslim)Sikap redha dengan mengucapkan puji dan syukur kepada Allah s.w.t. Ketika mendapat kesenangan atau sesuatu yang tidak menyenangkan bersandar kepada dua pengertian :
Pertama : Bertitik tolak dari pengertian bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi Dirinya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dialah Yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu..
Kedua : Bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah s.w.t. itulah yang paling baik , dibandingkan dengan pilihan dan kehendak peribadi yang berkaitan dengan diri sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
” Demi Allah yang
jiwaku ditangannya !Tidaklah Allah memutuskan sesuatu ketentuan bagi seorang
mukmin melainkan mengandungi kebaikan baginya. Dan tiadalah kebaikan itu
kecuali bagi mukmin . Jika ia memperolehi kegembiraan dia berterima kasih
bererti kebaikan baginya , dan jika ia ditimpa kesulitan dia bersabar bererti
kebaikan baginya “.
( Riwayat Muslim )
10 : Zikrulmaut
Iaitu sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.
Oleh kerana seseorang itu akan mati, maka hendaklah ia bersedia dengan amalan-amalan yang baik dan hendaklah ia memenuhkan tiap-tiap saat daripada umurnya itu dengan perkara yang berfaedah bagi akhiratnya kerana tiap-tiap perkara yang telah lalu tidak akan kembali lagi.
No comments:
New comments are not allowed.