Kepentingan
Sistem Ekonomi Islam Terhadap Masyarakat
Islam adalah sebuah cara hidup
yang paling lengkap di atas muka bumi Allah dan agama yang paling layak dianuti
hanyalah Agama Islam. Manusia diturunkan ke muka bumi ini untuk menjadi
khalifah bagi membangun dan memakmurkan bumi ini dengan mengikuti peraturan dan
kehendak yang telah ditetapkan oleh Pencipta Alam ini. Segala apa yang berlaku
di bumi ini adalah mengikut aturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Namun
begitu, ada dikalangan manusia yang sering melanggar peraturan dan ketetapan
ini hingga sampai merosakkan bumi mengikut hawa nafsu mereka. Segala kegiatan
perekonomian yang berlaku di dunia ini juga mengikut ketetapan dari Ilahi.
Segala harta yang ada pada manusia adalah anugerah dari Yang Maha Kuasa.
Manusia dipinjamkan sedikit sahaja harta di dunia untuk dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya. Setiap harta yang dimiliki ini akhirnya akan dihitung dan
disoal oleh Allah SWT kelak untuk dipertanggungjawabkan.
Kegiatan perekonomian amat
penting untuk membawa manusia kepada satu cara hidup yang tersusun. Maksud
ekonomi yang berasal daripada bahasa greek iaitu [aikos]
yang bermaksud ‘rumah’, dan [nemo],
yang bermaksud ‘peraturan’, (iaitu pengurusan rumah tangga) merupakan satu
cabang sains sosial yang mengkaji pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi
keperluan manusia. Perkara ini termasuk kajian mengenai pengeluaran dan
penggunaan melalui pembolehubah yang dapat diukur meliputi analisa pengeluaran,
pengedaran dan penggunaan barang dan perkhidmatan.
Sistem Ekonomi yang diguna
pakai kebanyakan masyarakat di zaman ini adalah sistem yang tidak berteraskan
syariat Islam iaitu sistem ekonomi konvensional ataupun lebih dikenali dengan
nama sistem Kapitalis. Terdapat pelbagai lagi sistem yang tidak mengikut
syariat seperti sosialisme dan komunisme. Sistem kapitalis inilah yang paling
meluas di gunakan pada masakini. Sistem ekonomi ini juga dikenali sebagai
sistem perusahaan bebas. Melalui sistem ini, setiap individu adalah berhak
untuk menggunakan dan mengawal barang-barang ekonomi yang diperolehinya,
mencegah orang lain daripada menggunakan barang itu dan memutuskan bagaimana
barang-barang itu perlu digunakan selepas kematian. Di dalam hal ini, setiap
individu mahupun organisasi adalah bebas untuk mengaut segala hasil ataupun
keuntungan dengan menggunakan apa jua cara sekalipun sama ada mengikut
peraturan atau tidak.
Sebelum ini telah dinyatakan
berkenaan pemahaman asas mengenai ekonomi dan salah satu sistem yang digunakan
pada masa kini iaitu sistem Kapitalis. Adakah tidak ada sistem lain yang patut
digunakan atau diamalkan? Kita telah diajar dengan pelbagai pelajaran dan
pengajaran berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Umat Islam dibangkitkan di
dunia ini adalah untuk memakmurkan muka bumi ini dengan mengikut segala batas
dan peraturan yang telah ditetapkan dan ianya menetapi nilai-nilai murni dalam
masyarakat. Pada zaman Rasulullah SAW, baginda telah melaksanakan sistem
ekonomi Islam untuk memaju dan membangunkan kerajaan Islam pada masa itu.
Sistem ekonomi Islam yang Baginda gagaskan telah menjatuhkan sistem-sistem lain
yang digunakan di mana kebanyakannya menindas manusia dan mengkayakan
golongan-golongan tertentu sahaja. Sudah Telah terbukti inilah satu sistem ekonomi
terbaik yang telah Baginda SAW tunjukkan pada kita dan sewajibnya umat Islam
pada masa ini mengamalkan sistem ekonomi yang berlandaskan syariat Islam.
Ekonomi Islam bermaksud satu
ilmu yang mempelajari perilaku ekonomi manusia yang diatur berdasarkan syariat
Islam yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah serta didasari dengan keimanan.
Seain daripa sistem yang mengikut syariat Islam, pengamalnya sendiri mestilah
mereka yang mempunyai integriti,kredibiliti, keimanan dan ketakwaan yang
tinggi. Tuntutan untuk melaksanakan ekonomi mengikut ajaran Islam adalah sangat
penting kerana Islam adalah cara hidup bagi umat manusia yang menyatukan
kehendak-kehendak kebendaan dan rohani manusia. Dua tokoh penting yang sering
disebut sebagai bapa ekonomi Islam ialah Ibnu Taymiyah (1262-1328 masihi) dan
Ibnu Khaldun (1332-1406 masihi)
Asas-asas ekonomi Islam
terkandung di dalam Al-Quran dan juga As-Sunnah Rasullullah SAW. Daripada
sumber-sumber inilah para ulama’ dan ahli ekonomi Islam telah mengeluarkan dan
mengetengahkan beberapa prinsip penting di dalam sistem ekonomi Islam.
Prinsip-prinsip utama telah di rumus seperti berikut:
§
Kesatuan (unity)
§
Keseimbangan (equilibrium)
§
Kebebasan (free will)
§
Tanggungjawab (responsibility)
Islam amat menitik berat soal
keadilan dalam semua perkara, dengan mengharamkan segala bentuk penindasan,
amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran
dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan
merugikan pihak-pihak tertentu. Allah telah berfirman di dalam Al-Quran Surah
An-Nisa’ ayat 29 yang bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu
sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, dan sebagainya), kecuali
dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu,
dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
mengasihani kamu.”
Salah satu cara yang terbaik
untuk diamalkan oleh masyarakat Islam bagi meningkatkan taraf hidup dan ekonomi
ialah melalui bidang perniagaan. Pelaksanaannya perniagaan haruslah mengikut
batas-batas syariat dan juga mengikut acuan sistem ekonomi Islam. Nabi SAW
pernah bersabda:
“
Sembilan persepuluh punca rezeki itu adalah melalui bidang perniagaan.”
( Riwayat Abu said bin
Mansur)
Ekonomi Islam dapat menjana
pelbagai hasil dan ianya melengkapi keperluan dan kehendak bagi memenuhi
kemaslahatan masyarakat. Hasil yang diperolehi dapat menjana ekonomi sesebuah
masyarakat, kerajaan ataupun organisasi. Allah telah menjadikan bumi ini tempat
untuk manusia meneroka dan mengeksploitasi segala sumbernya. Sumber-sumber
seperti petroleum, gas, ternakan, pertanian, semua hasil bumi dan pelbagai
sumber lain yang diperolehi mestilah digunakan dan disalurkan dengan mengikut
peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Penggunaan sumber-sumber ini
adalah salah satu daripada proses pelaksanaan dan pembangunan ekonomi.
Banyak manfaat dan kelebihan
yang masyarakat akan dapat nikmati melalui pengamalan sistem ekonomi Islam dan
seterusnya mengenepikan sistem konvensional yang menindas masyarakat dan cuma
menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita
sebagai umat Islam bagi melaksanakan dan menjalankan kegiatan ekonomi
berteraskan syariat Islam dan dapat menunjukkan bahawa Islam ini sebagai satu
cara hidup yang terbaik untuk manusia.
Melaksanakan sistem ekonomi Islam adalah salah satu tuntutan dalam
syariat Islam. Ianya sangat penting bagi meningkatkan sosio ekonomi umat Islam
khususnya dan umat manusia umumnya. Dengan terlaksananya sistem ekonomi Islam,
maka kehidupan manusia akan lebih tersusun dan terjamin tanpa ada sebarang
penindasan dari pihak yang tidak bertanggungjawab. Islam akan menjamin
kehidupan umat Islam dan juga bukan Islam. Oleh itu, marilah kita sama-sama
melaksanakan tuntutan ini dengan membuat perubahan ke arah yang lebih baik dan
betapa pentingnya untuk kita melaksanakan sistem ekonomi berteraskan tuntutan
syariat.
Penulis :
Abdul Hafiz Bin Alis
Bahagian Penyelidikan Dan
Penyelarasan
Jabatan Wakaf, Zakat Dan
Haji
Jabatan Perdana Menteri.