Wednesday, 20 August 2014

Memahami Konsep Pahala Dan Dosa - Bahagian Akidah Semester 2

"MEMAHAMI KONSEP PAHALA DAN DOSA"

Marilah bersama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menghindari segala larangan-Nya bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup kita di dunia dan di akhirat. Semoga hidup kita akan dinaungi rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan semua usaha-usaha kita dalam kehidupan ini diberkati-Nya.

Sebagai seorang muslim kita dituntut untuk yakin dan beriman dengan Hari Akhirat yang padanya ada pengadilan dan pembalasan. Kita yakin dan percaya bahawa setiap amal perbuatan kita di dunia ini ada perkiraan pahala dan dosa yang akan menerima balasan seadil-adilnya. Ini adalah untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya dari kalangan mereka. Inilah tujuan kehidupan manusia di dunia, lalu dimatikan oleh Allah SWT dan kemudiannya dihidupkan semula pada kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Hakikat ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Mulk ayat 2 :
”Dialah yang telah menciptakan adanya mati dan hidup untuk menguji kamu; siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat)”.


Sesungguhnya amalan seseorang itu adalah sebagai ukuran yang dapat memperlihatkan tahap sebenar kehambaan manusia di sisi Tuhannya. Siapakah yang tinggi ketaqwaannya dengan amal ibadah yang diganjari pahala dan siapakah pula yang rendah mertabat kehambaannya lalu hidup di dunia bergelumang dengan kemungkaran dan dosa.

Sungguhpun begitu, jika kita memahami dan menghayati konsep pahala dan dosa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada umat manusia, kita akan melihat betapa rahmat Allah SWT begitu luas kepada kita mengatasi kemurkaan-Nya.
Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
”Sesiapa yang berniat untuk melakukan suatu kebaikan namun dia tidak melakukannya, ditulis juga untuknya satu kebaikan. Sesiapa yang berniat melakukan kebaikan lalu dia melakukannya, dituliskan untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus gandaan. Sebaliknya sesiapa yang berniat melakukan kejahatan namun dia tidak melakukannya, tidak akan ditulis sebarang kejahatan untuknya, jika dia melakukannya barulah ditulis (satu kejahatan untuknya)”.
(Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada umat Muhammad s.a.w. Berniat melakukan kebaikan pun sudah diberi pahala, Berjaya melakukannya bakal diberi ganjaran sepuluh kali ganda dan boleh mencapai tujuh ratus gandaan pahala. Namun kejahatan yang baru diniatkan tidak dikira sebagai dosa, setelah benar-benar melakukan kejahatan barulah dicatat sebagai satu dosa tanpa sebarang gandaan. Bahawa sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih terhadap hamba-hambaNya kerana perkiraan pahala dan dosa ini sebenarnya mendorong manusia mencapai kebahagian dan kesejahteraan di akhirat dengan ganjaran Syurga.

Persoalannya mengapa masih ramai yang gagal menghargai semua kurniaan Allah ini? Sesungguhnya semua kepincangan dan permasalahan ini adalah berpunca daripada kegagalan memahami apakah hakikat sebenar pahala dan dosa di dalam kehidupan kita di dunia.

Al-Quran jelas menyatakan bahawa kita hendaklah melakukan sebanyak mungkin kebaikan kerana ia boleh menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Ini bererti amal kebaikan bakal menyelamatkan kita daripada azab dan sesaan Allah SWT.
Firman Allah dalam surah Hud ayat 114 :
”Sesungguhnya amal-amal kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian itu menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat”.

Manakala perlakuan dosa pula adalah sesuatu yang bakal mengundang malapetaka dan kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut ayat 40 mengingatkan kita tentang ancaman ini:
”Maka masing-masing (daripada kaum itu) Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin rebut menghujaninya dengan batu, ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang kuat (yang menggegarkan bumi), ada yang Kami benamkannya di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Justeru, bencana yang menimpa umat manusia sejak dulu hingga hari ini seperti gempa bumi, ribut taufan, Tsunami dan sebagainya adalah peringatan daripada Allah yang berpunca daripada dosa-dosa dan keingkaran kita yang mencabar keagungan Allah SWT. Dosa juga akan mengganggu ketenangan jiwa kita kerana jiwa manusia akan resah dan gelisah dengan bebanan dosa.
Hadis daripada Al-Nawwas bin Sam’aan al-Ansari R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda;
”Dosa adalah apa yang menimbulkan keresahan di jiwamu dan kamu benci ia dilihat manusia.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan semua kenyataan ini, kita semua diseru agar bersungguh-sungguh mempertingkatkan amal ketaqwaan yang membuahkan pahala-pahala berganda dan berazam tinggi untuk menjauhi segala dosa dan kemungkaran yang mengundang bencana demi menjamin kebahagiaan kita di dunia dan di akhirat kelak.

Kesimpulannya, marilah kita mengambil beberapa intipati penting sebagai panduan berguna untuk memastikan kesejahteraan hidup kita, antaranya:

Pertama : Bahawa setiap amal perbuatan kita akan diperhitungkan di akhirat kelak. Hidup dan mati adalah medan ujian untuk menilai siapakah manusia terbaik di kalangan hamba-hamba Allah.

Kedua : Bahawa konsep pahala dan dosa dalam Islam benar-benar menunjukkan besarnya rahmat dan kasih sayang Allah kepada kita hamba-hamba-Nya.

Ketiga : Bahawa pahala dan dosa adalah faktor utama penentu kebahagiaan dan kesengsaraan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa’ ayat 31:
“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan hapuskan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa kecil) kamu dan Kami akan memasukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)”.
(An-Nisa’ : 31)