Friday, 15 August 2014

Pelaksanaan Perniagaan Dalam Islam. - Bahagian Ibadah Semester 4

Etika Dalam Perniagaan Islam


Apakah Maksud Etika?

Etika ialah satu perkataan yang berasal dari bahasa Greek `Ethos' yang memberi maksud peraturan yang membatasi gelagat manusia. Oleh itu apabila disebut etika perniagaan ia memberi erti peraturan-peraturan yang membatasi gelagat atau tindakan manusia dalam kegiatan perniagaan.


Etika Dalam Perniagaan Islam

Etika perniagaan Islam adalah diperoleh daripada dua sumber utama hukum Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Selain itu, ia juga dibincangkan oleh ulamak-ulamak dalam satu cabang daripada ilmu fiqh iaitu fiqh al-muamalat. Secara umumnya adalah penting untuk kita memahami tujuan syariat untuk menentukan bentuk dan kandungan kegiatan perniagaan kita. Dengan memahami etika perniagaan kita akan dapat memastikan perniagaan kita akan diredhai oleh Allah.

Dalam menggariskan etika perniagaan, Islam menjadikan 'Prinsip Tidak Memudharatkan' sebagai asas penting. Prinsip ini merujuk kepada peraturan yang menggerakkan tindakan dan gelagat pimpinan serta pihak bawahan dalam hubungan sesama mereka dan yang memberi kesan di luar organisasi. Hubungan ini dapat menghalang serta mengurangkan sifat dan tindakan negatif terhadap orang lain dan diri sendiri. Ia juga merujuk kepada kesan produk atau perkhidmatan terhadap pengguna dan alam sekitar. Ini bersesuaian dengan tujuan Syariat Islam diturunkan untuk memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam menjalankan kegiatan perniagaan berlandaskan etika Islam seseorang usahawan harus memastikan peraturan berikut dipatuhi.

Peranan  Sebagai Usahawan Muslim

Seseorang usahawan Muslim haruslah memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai tujuan dan mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dalam segala aspek kehidupannya. Salah satu daripada etika penting dalam perniagaan ialah melaksanakan keadilan dan ihsan. Oleh itu dalam kegiatan perniagaan kita harus melaksanakan keadilan, kebajikan, memberi sedekah, serta tidak melakukan perkara keji, mungkar atau menzalimi diri kita dan orang lain.

Tindakan dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang sama ada pembeli atau pengusaha mendapat haknya.

Kesannya, penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan. Misalnya, penyorotan barang adalah berbahaya kepada masyarakat dan negara kerana ia menyebabkan kekurangan barang yang dikehendaki oleh masyarakat dan menyebabkan harga akan meningkat serta tekanan terhadap kadar inflasi.

Selain itu, seseorang usahawan juga harus memastikan bahawa sebarang bentuk pengiklanan atau promosi benar-benar mencerminkan kualiti dan kandungan barangan atau perkhidmatan agar seseorang pembeli itu tidak merasakan bahawa dirinya ditipu.

Kaedah pemasaran yang dilarang ialah menggunakan wanita dalam media cetak dan elektronik sebagai bahan pelaris atau untuk menarik masyarakat membelinya. Kaedah ini akan merosakkan jiwa dan akhlak remaja khususnya dan meningkatkan gejala-gejala sosial dalam masyarakat.

Tambahan lagi, usahawan Muslim harus memastikan bahawa setiap timbangan haruslah dilakukan dengan adil dan tanpa penipuan. Kita haruslah memberikan pengguna hak mereka sejajar dengan harga yang mereka bayar. Manakala, gharar berlaku apabila pembeli terlampau ghairah untuk mendapatkan keuntungan iaitu dengan menyifatkan barang yang dijual dengan sifat yang berlainan dari yang sebenar.

Seorang usahawan Muslim seharusnya membebaskan diri dari perjudian dan riba sama ada dalam pembiayaan atau pelaburan. Di Malaysia sumber-sumber pembiayaan yang bebas dari riba semakin meluas. Usaha perlu dibuat oleh usahawan untuk mengenal pasti sumber-sumber ini dan memanfaatkannya sebaik yang mungkin. Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyediakan kebanyakan daripada pembiayaan-pembiayaan ini untuk usahawan Islam dan bukan Islam.

Usahawan juga perlu menguruskan manusia agar mereka dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran. Kita perlu menjaga hubungan baik dengan mereka dan menjaga kebajikan mereka. Sekiranya kita tidak menjaga kebajikan mereka tetapi memaksa mereka memberikan komitmen terhadap kualiti dan produktiviti maka kita menzalimi mereka. Apabila pekerja merasakan diri mereka dizalimi maka mereka akan mulai membuat keputusan untuk berhenti kerja.

Islam juga sangat menekankan kualiti. Produk yang tidak berkualiti boleh menjejaskan usaha untuk membangunkan masyarakat dari sudut mental, moral, dan kesihatan. Generasi baru akan menghadapi banyak masalah termasuk anak-anak kita nanti. Kita tidak mahu masyarakat yang berpenyakit dari semua sudut. Tindakan undang-undang akan dihadapkan kepada seseorang usahawan sekiranya hal ini berlaku dan akan merugikan pihak usahawan sendiri.

Sebagai seseorang usahawan kita harus faham bahawa masyarakat pengguna bukanlah masyarakat yang pasif tetapi aktif. Dengan adanya persatuan-persatuan pengguna yang mempunyai matlamat menjaga hak-hak pengguna, kita harus berhati-hati dalam mengeluarkan produk bagi mengelakkan diri kita daripada mengalami kerugian kerana pengguna enggan membeli produk kita.

Adalah bertentangan dengan prinsip Islam sekiranya seseorang usahawan itu membuat sesuatu yang dikira sebagai melanggar kontrak yang telah dibuat dengan pihak lain. Tambahan lagi, kontrak yang tidak jelas boleh menimbulkan ketidakadilan kepada satu pihak. Ini akan mengakibatkan permusuhan di antara pihak yang terlibat. Maka, sesuatu kontrak itu perlu dibuat dengan syarat dan rukun yang jelas supaya berlaku adil.

Walaupun Islam menganggap keusahawanan merupakan satu ibadat dan orang yang terlibat akan mendapat balasan yang baik sekiranya seseorang usahawan itu mempunyai niat yang baik dan melaksanakannya berdasarkan etika Islam namun ini tidak bermakna dia boleh meninggalkan ibadat-ibadat khusus yang diwajibkan. Hendaklah kita menunaikan ibadat seperti zakat perniagaan dan sembahyang bila tiba waktunya walaupun kita terpaksa meninggalkan apa sahaja kegiatan yang kita sedang lakukan.

Di samping itu, peniaga haruslah menetapkan harga yang adil dan berpatutan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan untuk pembeli. Harga haruslah mencerminkan interaksi normal antara permintaan dan penawaran. Harga yang tidak adil akan menyebabkan golongan yang tidak berkemampuan tidak dapat memiliki barangan keperluan mereka. Ia juga akan menyebabkan inflasi dan memberi kesan terhadap daya saingan barangan tempatan.


Perlaksanaan Etika Peniagaan Dalam Islam

Terdapat tiga cara untuk kita melaksanakan etika perniagaan Islam iaitu :
  1. Peniaga atau pengusaha haruslah mempunyai ilmu pengetahuan mengenai etika perniagaan Islam dan ini menuntut mereka agar sentiasa memahami  serta melaksanakan apa yang di gariskan oleh syariat Islam.
  2. Pengguna harus memahami etika perniagaan Islam dan memastikan agar peniaga dan pengusaha mengamalkannya. Mereka harus bertindak secara aktif dalam mempertahankan hak-hak mereka sebagai pengguna dan memberikan maklumat kepada agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam memantau pelaksanaan etika perniagaan sekiranya terdapat penyelewengan.
  3. Peranan kerajaan pula, menyediakan garis panduan yang jelas dan lengkap mengenai etika perniagaan untuk diedarkan kepada peniaga dan pengusaha-pengusaha serta menyediakan ruang bagi orang ramai untuk menyuarakan bantahan dan memberikan maklumat sekiranya terdapat penyelewengan.
Kita sebagai usahawan muslim akan dapat melaksanakan dan mengamalkan etika perniagaan berdasarkan dari niat kita, sifat amanah dan benar, hubungan dengan pihak pekerja dan pengguna, pengeluaran, pembiayaan, pengiklanan dan sebagainya berlandaskan Islam. Ini bersesuaian dengan ayat al-Quran, ‘Wahai orang-orang yang beriman masuklah dalam Islam keseluruhannya’.Sama-samalah kita mempraktikkan etika ini dalam perniagaan untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Ringkasan dari Jurnal yang dikarang oleh Prof Madya Syed Omar Bin Syed Agil