Abu
Ali Al-Hussain Ibn Abdallah Ibn Sina
Biografi
Nama:
Abū
'Alī al-Ḥusayn
ibn 'Abd Allāh ibn Sīnā
Gelaran:
Ibnu Sina, Avicenna, Bapa Perubatan Islam
Lahir:
sekitar 980 M atau 370 H , Afshana berdekatan Bukhara (ibukota Samanid Empire),
nama sekarang Uzbekistan
Wafat:
1037 M atau 428 H
Mazhab:
Ismaili
Etnik:
Tajik
Rantau:
Parsi
Bidang:
Perubatan, Astronomi, Etika, Logik, Matematik, Metafizik, Falsafah, Fizik,
Sains,teologi
Karya:
Alqanun fi altibb, Kitab al-Shifa, Al Najat
Pengaruh:
Omar Khayyám, Ibnu Rushd, Thomas Aquinas, Albertus Magnus
Diilhami:
Aristotle, Al-Farabi
Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah Ibn Sina,
atau dikenali sebagai Ibnu Sina atau
"Avicenna" di dunia barat merupakan salah seorang pakar sains dari
Uzbekistan yang hidup antara tahun 980 - 1037 M.
Sejarah
dan latar belakang
Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah
bersamaan dengan 980 M. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam
bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain
seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqah, dan perubatan.
Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu
pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang
perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.
Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya
menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh
doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok
bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru
Pertama).
Sumbangan
Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara
Islam. Bukunya Al Qanun fi al-Tibb ("Kanun") telah diterbitkan di Rom
pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul
Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah
dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan
sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan
sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para
pelajar perubatan.
Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku
yang diberi judul al-Adwiyat al-Qalbiyyah ("The Remedies of the
Heart") yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau
telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara
untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada
ilmu perubatan sahaja, tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti
metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.
Ini dapat diperhatikan dalam sebuah lagi kitab agung beliau berjudul Kitab
al-Syifa yang memuatkan penulisan berkaitan sains dan falsafah.
Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu
telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak
sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap kemuncak (zenith) iaitu
puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.
Di samping menjadi puncak dalam bidang
perubatan, Ibnu Sina juga menduduki kedudukan yang tinggi dalam bidang ilmu
logik (mantik) sehingga digelar "Guru Ketiga" dibelakang Aristotle
dan al-Farabi. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan
karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.
Penulisan
lain
Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina
ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah
menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah.
Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi
yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan
perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani
khususnya Hippocrates.
Teori
perubatan
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur
yang dinamakan humor iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow
bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang
mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat
unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini
diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.
Setiap individu dikatakan mempunyai formula
keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi
telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal
pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis
teori-teori kosmogoni Yunani ini dan "mengislamkannya".
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia
terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat
unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa
bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya
bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit.
Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga
memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan
proses penyembuhan.
Falsafah
Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat
dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga
bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk
mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah
Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi
Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di
alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan
fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan
Yahudi dan Nasrani.
Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak
kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa
pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia
tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun.
Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib
al-Wujud" yang tidak ada permulaan.
Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu
datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak.
Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk
melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan
ketinggian-Nya.
Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah
ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab Himah Ilahiyyah dalam fasal "Tentang
adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan".
Pemikiran Ibnu Sina ini telah mencetuskan
kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat
Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah
("Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah") untuk
membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.
Antara percanggahan yang diutarakan oleh
al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi,
penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan
jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau
neraka.
Walau apa pun pandangan yang dikemukakan,
sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat
dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab
menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak
sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah
mengatasi gurunya sendiri iaitu Abu Al-Nasr Al-Farabi (al-Farabi).
Rujukan: Wikipedia Ensiklopedia