ADAB
BERKOMUNIKASI
Komunikasi
secara lisan amat penting dalam kehidupan seharian. Bolehkah kita hidup
sendirian tanpa bercakap? Kita perlukan teman untuk berbual, supaya apa yang
ada dalam minda dan hati dapat diluahkan melalui kata-kata. Namun setiap tutur
kata itu, harus kena pada tempatnya. Sekiranya kata-kata itu dikeluarkan sesuka
hati tanpa memikirkan akibat daripada
pertuturan yang diucapkan pasti buruk padahnya. Bak kata pepatah Melayu,
“ Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.
Tujuan
dan matlamat manusia berbicara atau bercakap perlu jelas. Kesannya harus
mendatangkan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat. Bagi menjamin wujudnya keharmonian sesama
manusia, Islam telah mengariskan
beberapa panduan dalam berkomunikasi secara lisan.
ADAB-ADAB
APABILA BERBICARA
Bercakap Benar
Sebelum
sesuatu perkataan itu dituturkan, kita perlulah berhati-hati dan berfikir
sebaik-baiknya kerana Islam mewajibkan supaya bercakap benar. Ini telah
dinyatakan dalam surah al-Taubah ayat 119 (9: 119) yang bermaksud :
“
Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadilah kalian
bersama-sama orang yang benar”
Segala
pertuturan yang dikeluarkan harus berpandukan kepada fakta yang benar dan bukan
pendustaan yang dilemparkan untuk kepuasan hati dan kepentingan diri sendiri.
Perkataan
Yang Baik
Kata-kata
yang baik boleh mendatangkan kebaikan, memberikan rangsangan motivasi,
menimbulkan semangat dan mengembirakan orang yang mendengarnya. Tutur kata yang baik juga mencerminkan akhlak
seseorang individu. Baik budi bahasanya maka baiklah budi pekertinya.
Suruhan
untuk bercakap dengan baik juga dinyatakan di dalam Firman Allah dalam ayat 83
surah al-Baqarah (2:83) yang bermaksud:
“
Dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia”
Kurangkan
Bercakap
Realitinya,
memang sukar untuk dipraktikkan. Mulut ini lebih selesa bercakap daripada
senyap. Kalau tidak dapat bercakap, terasa tekanan yang amat sangat. Pantang
berjumpa rakan atau ada saja isu baru yang hangat diperkatakan maka panjanglah
ulasan yang diberikan. Kerja-kerja yang sepatutnya diamanahkan tidak dapat
diselesaikan kerana banyak bercakap. Benarlah peribahasa “ agak lebih daripada
agih”. Oleh itu, kita harus mencari jalan untuk mendorong hati kurang
berbicara.
Jelas
Dan Terang
Berbicaralah
dengan suara yang jelas dan terang supaya hasrat dan maklumat yang disampaikan
itu difahami oleh orang yang mendengarnya. Berbicaralah perlahan-perlahan dan
tidak tergesa-gesa dengan penuh keyakinan. Berikanlah tumpuan dan focus semasa
bercakap dengan memandang wajah orang yang mendengarnya.
Ini
hanyalah sebahagian daripada adab-adab yang dianjurkan oleh Islam. Jadikanlah
setiap pertuturan itu sebagai ibadah. Moga
dinilai oleh Allah sebagai suatu amalan yang membuahkan pahala kerana
kata-kata yang baik juga adalah suatu sedekah.
MARIA JILANI
Penolong Penasihat Undang-Undang
(Syariah) Negeri
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri
Negeri Sembilan