AKHLAK DALAM ISLAM
Konsep
Akhlak
Walaupun
manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh
dipisahkan daripada agama dan kepercayaan, tetapi tidak boleh dipisahkan dengan
akhlak atau moral. Ini kerana setiap perbuatan, amalan atau tindakan yang
diambil tidak terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada
terhadap dirinya atau orang lain ataupun benda lain iaitu adakah baik atau
tidak segala tindakan tersebut. Jika baik jawapannya perkara itu akan dilakukan
tetapi jika jahat perkara itu akan ditinggalkan. Itulah akhlak yang baik.
Tetapi jika sebaliknya yang dilakukan itulah akhlak yang buruk.
Dari sini
ternyata kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia sehingga di kalangan orang yang
tidak bermoral mereka merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui bersama
oleh mereka supaya dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan
mereka.
Islam
merangkumi aqidah, dan syariat itu mengandungi roh akhlak. Akhlak adalah roh kepada
risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut.
Ini bererti Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau
jasad yang tidak bernyawa. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Islam
itu akhlak yang baik". Begitu juga sabda Baginda yang bermaksud :
"Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak
yang mulia."
Pengertian
Akhlak
Akhlak dari
segi bahasa : berasal daripada perkataan 'khulq' yang bererti perilaku,
perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan
akhlak Rasulullah saw yang bermaksud : "Akhlaknya (Rasulullah) adalah
al-Quran." Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas
ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah saw
yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.
Akhlak dari
segi istilah : Menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah suatu sifat yang
tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah
tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu."
Menurut Ibnu
Maskawih, "Akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk
melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih
dahulu."
Menurut
Profesor Dr Ahmad Amin, "Akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan
menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan."
Daripada
definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan
yang tetap sifatnya di dalam jiwa seseorang yang tidak memerlukan daya
pemikiran di dalam melakukan sesuatu tindakan.
Perbezaan
Akhlak, Moral dan Etika
Yang
dimaksudkan dengan akhlak secara umum ialah sistem atau tingkah laku manusia
yang bersumberkan kepada asas wahyu atau syarak. Sementara yang dimaksudkan
dengan etika ialah sistem tingkah laku manusia yang selain daripada wahyu,
tegasnya yang bersumberkan falsafah. Kata etika berasal daripada bahasa
Inggeris "Ethic" dan bahasa Greek "Ethos" yang membawa
maksud nilai-nilai atau perkara yang berkaitan dengan sikap yang menentukan
tingkah laku sesuatu golongan.
Kata moral
pula ialah tingkah laku yang telah ditentukan oleh etika. Tingkah laku yang
telah ditentukan oleh etika sama ada baik atau jahat dinamakan moral. Moral ini
terbahagi kepada dua iaitu baik dan jahat. Yang baik ialah segala tingkah laku
yang dikenal pasti oleh etika sebagai baik. Danyang jahat ialah tingkah laku
yang dikenal pasti oleh etika sebagai jahat.
Perbezaan
Antara Akhlak dan Moral @ Etika
i) Akhlak
merupakan satu sistem yang menilai tindakan zahir dan batin manusia manakala
moral ialah satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia sahaja.
ii) Akhlak
mencakup pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan manusia
dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk lain manakala
moral mencakupi pemikiran, perasaan dan niat di hati manusia dalam hubungan
manusia dengan manusia sahaja.
iii)
Nilai-nilai akhlak ditentukan oleh Allah swt melalui al-Quran dan tunjuk ajar
oleh Rasulullah saw manakala moral ditentukan oleh manusia.
iv)
Nilai-nilai akhlak bersifat mutlak, sempurna dan tetap manakala nilai-nilai
moral bersifat relatif, subjektif dan sementara.
Contoh-contoh
Perbezaan Antara Akhlak dan Moral
1. Pakaian :
Menurut Islam pakaian bagi seseorang muslim mestilah menutup aurat. Seandainya
mereka tidak menutup aurat maka ia telah dianggap sebagai orang yang tidak
berakhlak kerana telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah
swt. Berbeza dengan moral, jika seseorang itu mendedahkan aurat tetapi masih
mempunyai perlakuan yang baik, maka mereka masih dianggap bermoral oleh
sesetengah pihak.
2. Pergaulan
bebas antara lelaki dan perempuan : Fenomena seumpama ini sudah menjadi suatu
lumrah bai masyarakat di Barat dan masyarakat kita. Berdasarkan penilaian Barat
perkara ini masih dianggap bermoral, sebaliknya jika dilihat dari sudut akhlak
Islam, perlakuan sedemikian sudah dianggap tidak berakhlak.
3.
Bersalaman : Bersalaman di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya
adalah haram menurut Islam walaupun tujuannya untuk merapatkan hubungan. Tetapi
perkara ini dibolehkan dalam sistem moral.
Skop Akhlak
Islam
Skop akhlak
Islam adalah luas merangkumi segenap perkara yang berkaitan dengan kehidupan
manusia sama ada hubungan manusia dengan Allah, hubungan manusia dengan manusia
dan hubungan manusia dengan makhluk lain.
a) Akhlak
dengan Allah : Antara ciri-ciri penting akhlak manusia dengan Allah swt ialah :
Beriman
kepada Allah : iaitu mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa Allah itu wujud
serta beriman dengan rukun-rukunnya dan melaksanakan tuntutan-tuntutan di
samping meninggalkan sebarang sifat atau bentuk syirik terhadapnya.
Beribadah
atau mengabdikan diri, tunduk, taat dan patuh kepada Allah : iaitu melaksanakan
segala perintah dan meninggalkan segala larangannya dengan ikhlas semata-mata
kerana Allah swt.
Sentiasa
bertaubat dengan tuhannya : iaitu apabila seseorang mukmin itu terlupa atau
jatuh kepada kecuaian dan kesilapan yang tidak seharusnya berlaku lalu ia
segera sedar dan insaf lalu meminta taubat atas kecuaiannya.
Mencari
keredhaan Tuhannya : iaitu sentiasa mengharapkan Allah dalam segala usaha dan
amalannya. Segala gerak geri hidupnya hanyalah untuk mencapai keredhaan Allah
dan bukannya mengharapkan keredhaan manusia walaupun kadang kala terpaksa
membuat sesuatu kerja yang menyebabkan kemarahan manusia.
Melaksanakan
perkara-perkara yang wajib, fardhu dan nawafil.
Redha
menerima Qadha' dan Qadar Allah : Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
"Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur dan apabila dia ditimpa
kesusahan dia bersabar maka menjadilah baik baginya."
b) Akhlak
dengan manusia :
Akhlak
dengan Rasulullah : iaitu beriman dengan penuh keyakinan bahawa nabi Muhammad
saw adalah benar-benar nabi dan Rasul Allah yang menyampaikan risalah kepada
seluruh manusia dan mengamalkan sunnah yang baik yang berbentuk suruhan ataupun
larangan.
Akhlak
dengan ibubapa : iaitu berbuat baik (berbakti) ke pada ibu bapa. Berbuat baik
di sini mengandungi erti meliputi dari segi perbuatan, perkataan dan tingkah
laku. Contohnya berkata dengan sopan dan hormat, merendahkan diri, berdoa untuk
keduanya dan menjaga keperluan hidupnya apabila mereka telah uzur dan
sebagainya. Firman Allah swt yang bermaksud : " Kami perintahkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapa."
Akhlak
dengan guru : Maksud dari sebuah hadith Nabi saw: "Muliakanlah orang yang
kamu belajar daripadanya." Setiap murid dikehendaki memuliakan dan
menghormati gurunya kerana peranan guru mengajarkan sesuatu ilmu yang merupakan
perkara penting di mana dengan ilmu tersebut manusia dapat menduduki tempat
yang mulia dan terhormat dan dapat mengatasi berbagai kesulitan hidup sama ada
kehidupan di dunia ataupun di akhirat.
Akhlak
kepada jiran tetangga : Umat Islam dituntut supaya berbuat baik terhadap jiran
tetangga. Contohnya tidak menyusahkan atau mengganggu mereka seperti
membunyikan radio kuat-kuat, tidak membuang sampah di muka rumah jiran, tidak
menyakiti hati mereka dengan perkataan-perkataan kasar atau tidak sopan dan
sebagainya. Malah berbuat baik terhadap jiran tetangga dalam pengertiannya itu
dapat memberikan sesuatu pemberian kepada mereka sama ada sokongan moral atau
material.
Akhlak suami
isteri : Firman Allah swt yang bermaksud : "Dan gaulilah olehmu
isteri-isteri itu dengan baik."
Akhlak
dengan anak-anak : Islam menetapkan peraturan terhadap anak-anak. Sabda
Rasulullah saw yang bermaksud : "Kanak-kanak lelaki disembelih aqiqahnya
pada hari ketujuh dari kelahirannya dan diberi nama dengan baik-baik dan
dihindarkan ia daripada perkara-perkara yang memudharatkan. Apabila berusia
enam tahun hendaklah diberi pengajaran dan pendidikan akhlak yang baik."
Akhlak
dengan kaum kerabat : Firman Allah yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan dan memberi kepada kaum
kerabat."
c) Akhlak
terhadap makhluk selain manusia :
Malaikat
:Akhlak Islam menuntut seseorang muslim supaya menghormati para malaikat dengan
menutup kemaluan walaupun bersendirian dan tidak ada orang lain yang melihat.
Jin : Adab
terhadap golongan jin antaranya Rasulullah melarang membuang hadas kecil di
dalam lubang-lubang di bumi kerana ia adalah kediaman jin. Sabda Rasulullah saw
yang bermaksud : "Jangan kamu beristinjak dengan tahi kering dan jangan
pula dengan tulang-tulang kerana sesungguhnya tulang-tulang itu adalah makanan
saudara kamu dari kalangan jin."
Haiwan
ternakan : Haiwan yang digunakan untuk membuat kerja, maka tidak boleh mereka
dibebani di luar kesanggupan mereka atau dianiaya atau disakiti. Malah ketika
hendak menyembelih untuk dimakan sekalipun, maka hendaklah penyembelihan
dilakukan dengan cara yang paling baik iaitu dengan menggunakan pisau yang
tajam, tidak mengasah pisau di hadapan haiwan tersebut atau menyembelih haiwan
di samping haiwan-haiwan yang lain.
Haiwan bukan
ternakan : tidak menganiayai haiwan-haiwan bukan ternakan seperti
mencederakannya dengan menggunakan batu dan sebagainya.
Alam :
Manusia diperintahkan untuk memakmurkan sumber-sumber alam demi kebaikan
bersama. Islam menetapkan bahawa alam ini tidak boleh dicemari dengan kekotoran
yang boleh merosakkan kehidupan manusia dan kehidupan lainnya.
Sumber
Akhlak Islam
Dalam Islam
akhlak adalah bersumber dari dua sumber yang utama iaitu al-Quran dan
al-Sunnah. Ini ditegaskan leh Rasulullah saw dalam sepotong hadith yang
bermaksud : "Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk
menyempurnakan akhlak yang mulia."
Allah swt
telah memuji Rasulullah kerana akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam
al-Quran, firman Allah swt yang bermaksud : "Sesungguhnya engkau seorang
memiliki peribadi yang agung (mulia)."
Kedudukan
Akhlak dalam Islam
Akhlak
mempunyai kedudukan yang paling penting dalam agama Islam. Antaranya :
Akhlak
dihubungkan dengan tujuan risalah Islam atau antara perutusan utama Rasulullah
saw. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Sesungguhnya aku diutuskan
untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." Pernyataan Rasulullah itu
menunjukkan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam.
Akhlak
menentukan kedudukan seseorang di akhirat nanti yang mana akhlak yang baik
dapat memberatkan timbangan amalan yang baik. Begitulah juga sebaliknya. Sabda
Rasulullah saw yang bermaksud : "Tiada sesuatu yang lebih berat dalam daun
timbangan melainkan akhlak yang baik."
Akhlak dapat
menyempurnakan keimanan seseorang mukmin. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
"Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah yang paling baik
akhlaknya."
Akhlak yang
baik dapat menghapuskan dosa manakala akhlak yang buruk boleh merosakkan
pahala. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Akhlak yang baik mencairkan
dosa seperti air mencairkan ais (salji) dan akhlak merosakkan amalan seperti
cuka merosakkan madu."
Akhlak
merupakan sifat Rasulullah saw di mana Allah swt telah memuji Rasulullah kerana
akhlaknya yang baik seperti yang terdapat dalam al-Quran, firman Allah swt yang
bermaksud : "Sesungguhnya engkau seorang yang memiliki peribadi yang agung
)mulia)." Pujian allah swt terhadap RasulNya dengan akhlak yang mulia
menunjukkan betapa besar dan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam. Banak
lagi ayat-ayat dan hadith-hadith Rasulullah saw yang menunjukkan ketinggian
kedudukan akhlak dan menggalakkan kita supaya berusaha menghiasi jiwa kita dengan
akhlak yang mulia.
Akhlak tidak
dapat dipisahkan dari Islam, sebagaimana dalam sebuah hadith diterangkan bahawa
seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw : "Wahai Rasulullah, apakah
itu agama?" Rasulullah menjawab : "Akhlak yang baik."
Akhlak yang
baik dapat menghindarkan seseorang itu daripada neraka sebaliknya akhlak yang
buruk menyebabkan seseorang itu jauh dari syurga. Sebuah hadith menerangkan
bahawa, "Si fulan pada siang harinya berpuasa dan pada malamnya
bersembahyang sedangkan akhlaknya buruk, menganggu jiran tetangganya dengan
perkataannya. Baginda bersabda : tidak ada kebaikan dalam ibadahnya, dia adalah
ahli neraka."
Salah satu
rukun agama Islam ialah Ihsan, iaitu merupakan asas akhlak seseorang muslim.
Ihsan iaitu beribadat kepada allah seolah-olah kita melihatNya kerana walauun
kita tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kita.
Kepentingan
Akhlak dalam Kehidupan Manusia
Akhlak
merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak
berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah
seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh
Rasulullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak
zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikutnya yang
telah menyeleweng.
Hal ini juga
berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia telah runtuh berpunca
daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak,
membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka
memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka
sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak
beragama.
Akhlak juga
merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap
mereka yang tidak berakhlak tempatnya dia dalam neraka. Umpamanya seseorang itu
melakukan maksiat, menderhaka kepada ibu bapa, melakukan kezaliman dan
sebagainya, sudah pasti Allah akan menolak mereka daripada menjadi ahli syurga.
Selain itu,
akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana ianya
lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang
berakal. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud : "Orang
yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."
Kekalnya
sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu
ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam
kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum
Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ummah yang berakhlak
tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah
ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah saw.
Ketiadaan
akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku
pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan
rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran
sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah
berkata : "Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan
tenteranya runtuh moral dan akhlak."
Pencerminan
diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang
ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana
aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya
manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan
hiasan pokok tersebut.
Akhlak tidak
dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang
hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari
masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak
yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam
kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.
Proses
pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan.
Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga
dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih
dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah
maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Akhlak amat
penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika
memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li
al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah
satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati
bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci
kepada kejahatan.
Ciri-ciri
Akhlak Islam
1. Islam
menyeru agar manusia menghiasi jiwa dengan akhlak yang baik dan menjauhkan diri
dari akhlak yang buruk. Yang menjadi ukuran baik dan burukna adalah syarak,
iaitu apa yang diperintahkan oleh syarak, itulah yang baik dan apa yang
dilarang oleh syarak itulah yang buruk.
2.
Lingkungan skop akhlak Islam adalah luas meliputi segala perbuatan manusia
dengan Allah, manusia dengan manusia dan manusia dengan makhluk selain manusia.
3. Islam
menghubungkan akhlak dengan keimanan. Orang yang paling sempurna keimanannya
ialah orang yang paling baik akhlaknya.
4. Adanya
konsep balasan dan ganjaran pahala atau syurga oleh Allah dan sebaliknya orang
yang berakhlak buruk akan mendapat dosa atau disiksa dalam neraka.
Jalan-jalan
Pembentukan Akhlak Mulia
Akhlak
adalah sesuatu perilaku yang boleh diubah dan dibentuk, contohnya Saidina Umar
al-Khattab, sebagaimana keadaan beliau semasa berada di zaman jahiliyyah
berbanding keadaannya sesudah memeluk agama Islam. Dari sini dapat disimpulkan
bahawa akhlak merupakan sesuatu yang semulajadi tetapi ianya perlu dibentuk.
Terdapat beberapa cara untuk membentuk dan membina akhlak mulia. Antara
cara-cara itu ialah melalui :
a)
Pendidikan Iman sebagai Asas Akhlak
Pendidikan
merupakan salah satu cara untuk mencorak manusia menjadi seseorang yang
beriman. Iman adalah asas kepada akhlak Islam. Tidak akan sempurna iman
seseorang jika tidak disertai oleh akhlak yang baik. Contohnya dengan
melaksanakan segala perintah Allah yang berupa ibadah kerana kesemua perintah
Allah tersebut bertujuan untuk membersihkan diri dan menyuburkan jiwa manusia
dengan sifat-sifat terpuji.
Lantaran itu
setiap ayat al-Quran menyeru manusia berbuat baik dan mencegah manusia daripada
melakukan perbuatan mungkar. Biasanya didahului dengan panggilan "Wahai
orang-orang yang beriman" kemudian barulah diikuti dengan perintah atau
larangan. Iman yang teguh tetap memerlukan akhlak yang teguh. Jika berlaku
kemerosotan akhlak di kalangan manusia, puncanya adalah kelemahan iman dan
tertakluk kepada kefasikan atau kejahatan yang dilakukan oleh seseorang.
Pendidikan
iman bolehlah disimpulkan sebagai suatu pemulihan tenaga keimanan seseorang
supaya dapat mempertahankan diri manusia daripada segala kerendahan dan
keburukan serta dapat mendorong manusia ke arah kemuliaan.
b) Melalui
Latihan dan Bimbingan Pendidik Berkualiti
Pendidikan
yang diberikan itu hendaklah bermula dari rumah yang ditangani oleh ibu bapa.
Selepas itu barulah berpindah ke peringkat sekolah hingga ke pusat pengajian
tinggi bagi pendidikan berbentuk formal. Ibu bapa seharusnya mempunyai
keperibadian dan akhlak yang mantap sebagai pendidik dan pembinbing seperti
lemah lembut dalam pertuturan, pergaulan, sabar, lapang dada, istiqamah,
berwawasan dan seumpamanya.
c) Mengambil
Rasulullah saw Sebagai Contoh
Rasulullah
adalah contoh teladan dan ikutan yang paling tepat bagi semua peringkat kehidupan.
Bersesuaian dengan itu, Allah swt telah berfirman bahawa Nabi Muhammad saw
diutuskan kepada manusia untuk menyempurnakan akhlak di kalangan mereka. Firman
Allah yang bermaksud : "Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah
saw itu contoh ikutan yang baik bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan
keredhaan Allah dan balasan baik di hari akhirat serta sentiasa menyebut dan
memperingati Allah dalam masa senang dan susah." Contoh-contoh akhlak
Rasulullah saw :
1. Akhlak
Rasulullah saw dengan Allah swt
Mengabdikan
diri setiap detik dan masa kepada Allah dengan penuh kepatuhan, ketaatan,
kecintaan dan kesyukuran yang tidak berbelah bagi terhadap Allah di samping
redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah kepadanya.
Melaksanakan
kewajipan yang wajib atau difardhukan serta amalan-amalan sunat seperti bangun
malam mengadakan Qiyamullail, berpuasa sunat, zikir, istighfar, doa, tasbih,
tahmid dan sebagainya.
2. Akhlak
Rasulullah saw dengan sesama manusia
Akhlak
Rasulullah saw meliputi aspek kekeluargaan, soaial, ekonomi, politik dan
sebagainya. Dari aspek kekeluargaan, Rasulullah saw berjaya mewujudkan suasana
yang harmoni dan Rasulullah saw pernah bersabda : "Rumahku adalah
syurgaku."
Rasulullah
saw merupakan seorang yang bertanggungjawab, sentiasa memberi kasih sayang,
berlemah lembut dan bertolak ansur terhadap semua ahli keluarganya.
Rasulullah
saw juga selalu berbincang dengan para sahabat dan menghargai pandangan yang
diberikan oleh mereka.
Begitu juga
akhlak dan sikap Rasulullah saw terhadap orang bukan Islam iaitu menghormati
mereka, bersopan santun dan memberi haknya kepada mereka terutama dari segi
kejiranan. Contohnya kisah baginda dengan seorang wanita Yahudi (jirannya) yang
akhirnya wanita Yahudi tersebut telah memeluk Islam atas keprihatinan,
kesabaran dan kemuliaan akhlak yang ditonjolkan oleh Rasulullah saw.
3. Akhlak
Rasulullah saw dengan makhluk lain.
Rasulullah
saw begitu peka dan prihatin terhadap makhluk yang lain seperti haiwan,
tumbuha-tumbuhan dan alam sekitar.
Rasulullah
saw menasihati umatnya supaya berlaku ihsan kepada haiwan dan binatang ternakan
serta tidak menzalimi atau menyiksa mereka. Demikian juga tumbuh-tumbuhan dan
alam sekitar.
Faktor-faktor
keruntuhan akhlak (Halangan dalam pembentukan akhlak)
a) Persekitaran
Faktor
persekitaran banyak mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Antaranya
ialah :
Individu
yang hidup dalam keluarga yang tidak mengamalkan cara hidup yang berakhlak,
maka jiwanya akan terdidik dengan tingkah laku, tutur kata dan gaya hidup yang
tidak baik.
Kehadiran
teknologi canggih dalam media massa sama ada bercetak atau elektronik juga
sedikit sebanyak memberi kesan dalam pembentukan akhlak seseorang iaitu melalui
adegan-adegan ganas dan berunsur seks yang boleh merosakkan jiwa mereka.
Pengaruh
rakan sebaya dan masyarakat sekeliling juga merupakan faktor yang membentuk
keperibadian dan akhlak seperti tingkah laku, tutur kata dan cara bertindak.
Permasalahan
keluarga yang melibatkan ibu bapa contohnya pergaduhan dan perceraian boleh
membawa kepada permasalahan sosial seperti lari dari rumah, menyertai rakan
sebaya mahupun kumpulan yang rosak akhlaknya sehingga membawa kepada pergaulan
bebas, perzinaan, pengambilan dadah, pelacuran (bohsia) dan seumpamanya.
Budaya
masyarakat yang cenderung ke arah liberalisme juga membawa masyarakat kini
mudah terjeba dengan budaya rock, rap, lepak dan seumpamanya.
b) Nafsu
Nafsu adalah
anugerah Allah swt kepada manusia dan nafsu juga adalah musuh sebati dengan
diri manusia yang melaksanakan hasrat nafsu manusia. Manusia yang terlalu
menurut kehendak nafsunya akan terdorong untuk melakukan keburukan. Seandainya
nafsu tidak dapat dikawal, sudah asti boleh menghilangkan maruah diri, agama
dan nilai budaya sesebuah masyarakat dan membawa kepada kemungkaran sebagaimana
berlaku dalam masyarakat kini.
c) Syaitan
Satu lagi
musuh ghaib yang sentiasa mendampingi manusia dengan memperalatkan nafsu
manusia iaitu syaitan. Fungsi syaitan adalah sebagai agen perosak akhlak
manusia berlaku sejak Nabi Adam a.s. dan berterusan hingga ke hari kiamat.
Kesimpulannya
setiap manusia yang hidup terpaksa menghadapi ujian dan cubaan hidup dalam
usaha melatih diri menjadi manusia yang berakhlak dan bersedia menghadapi
segala rintangan.
Cara-cara
mengatasi dan memperbaiki akhlak :
- Menguatkan nilai-nilai aqidah dan keimanan dalam jiwa.
- Mengawal pancaindera daripada melihat atau mendengar perkara-perkara yang membangkitkan atau menguatkan syahwat dan hawa nafsu yang menjadi punca segala sifat buruk dan keji.
- Mempelajari huraian atau penjelasan al-Quran dan Hadith serta penafsirannya oleh para ulama mengenai akhlak terpuji untuk membersihkan jiwa.
- Melatih diri membiasakan perbuatan-perbuatan baik seperti ibadah berupa solat, puasa dan lain-lain dan menjauhkan diri daripada segala perbuatan buruk dan keji.
- Berkawan dan berjiran dengan orang-orang yang berakhlak mulia kerana kawan atau jiran memberi kesan atau pengaruh dalam pembinaan akhlak seseorang.
- Mempelajari kehidupan para nabi, sahabat, ulama atau auliya dan menjadikan kehidupan mereka sebagai contoh teladan dalam kehidupan kita.
- Dalam segala tindak tanduk kita hendaklah sentiasa mengikuti dan menggunakan akal fikiran dan janganlah mengikut perut dan hawa nafsu kita.
- Sentiasa berdoa memohon bantuan Allah swt agar dilengkapkan diri dengan akhlak yang mulia dan mendapatkan perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.