Thursday 13 February 2014

Membangun Sifat Istiqamah - Bahagian Akhlak Semester 4

Membangun Sifat Istiqamah

Setiap muslim berikrar bahawa Allah Subhanahuwata’ala adalah Rabbnya, Islam adalah dinnya dan Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam adalah rasul ikutannya, sepertimana doa yang sering dibaca:

Aku redha Allah sebagai Rabbku, dan Islam sebagai dinku, dan Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam sebagai nabi dan rasul bagiku.

Dia haruslah memahami erti ikrar ini dan mampu merealisasikan tuntutannya dalam realiti kehidupan. Setiap aspek kehidupannya, samada dalam suasana aman mahupun terancam, hendaklah diwarnai dengan tuntutan ikrar ini.

Dalam realiti kehidupan, ternyata tidak semua orang Islam memiliki kefahaman yang baik tentang Islam dan dapat menghayatinya dalam setiap bidang kehidupan. Orang yang dapat menghayatinya pun belum tentu dapat bertahan dan tetap dalam penghayatan itu sepertimana yang dituntut oleh Islam, yakni iltizam dan istiqamah berpegang dengan ajaran Islam di sepanjang hidupnya.

Istiqamah berpegang kepada din Islam merupakan satu kewajipan asasi dan satu kemestian bagi hamba-hamba Allah Subhanahuwata’ala yang inginkan husnul khatimah.

Istiqamah bukan sahaja diperintahkan kepada orang-orang muslim biasa, bahkan diperintahkan juga kepada manusia besar dalam sejarah, iaitu para nabi dan rasul. Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud : 12)

Pengertian

Dari sudut bahasa, kata akar bagi istiqamah ialah qaama, bererti berdiri. Ini bermakna orang yang istiqamah ialah orang yang berdiri tegak tanpa bergeser atau menyeleweng.

Dari sudut istilah, istiqamah boleh diertikan dengan beberapa pengertian:

Abu Bakar As-Siddiq Radhiallahu’anhu menyatakan bahawa istiqamah ialah kemurnian tauhid.

Umar al-Khattab Radhiallahu’anhu menyatakan bahawa istiqamah ialah iltizam terhadap perintah dan larangan serta tidak boleh menipu sebagaimana tipuan musang.

Uthman bin Affan Radhiallahu’anhu menyatakan bahawa istiqamah ialah mengikhlaskan amal kepada Allah Ta’ala.

Ali bin Abi Talib Radhiallahu’anhu menyatakan bahawa istiqamah ialah melaksanakan kewajipan-kewajipan.

Al-Hasan pula menyatakan bahawa istiqamah ialah melakukan ketaatan dan menjauhi maksiat.

Mujahid pula menyatakan bahawa istiqamah ialah iltizam terhadap syahadah tauhid sehingga bertemu dengan Allah Ta’ala.

Ibn Taimiyah pula menyatakan bahawa mereka beristiqamah dalam mencintai dan beribadah kepadaNya tanpa menoleh ke kiri atau kanan.

Dasar istiqamah

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.(Hud : 12)

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami ialah Allah”, Kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Merekai itulah penghuni-penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan. (Al Ahqaf, 41: 13-14)

Ketika Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ditanya: “Ya Rasulullah, katakanlah kepadaku satu perkataan dalam Islam yang aku tidak akan bertanya kepada seseorang pun selain engkau”.

Baginda bersabda: “Qul aamantu billah fastaqim” (Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian beristiqamahlah).

Ibn Taimyyah menyatakan: Sebesar-besar karamah ialah memegang istiqamah.