Selepas berjaya menguasai
Mesir, beliau mula menumpukan perhatian untuk kembali menguasai Jerusalem
(Baitul-Maqdis) yang ketika itu dikuasai pihak Kristian. Untuk tujuan itu,
beliau mula menjalankan kempen-kempen ketenteraan terhadap wilayah-wilayah
Islam yang lain dengan tujuan untuk menyatupadukan tentera Islam di bawah satu
panji serta memantapkan lagi barisan tentera Islam. Setelah merasakan tentera
Islam cukup kuat, beliau mula menggerakkan tentera Islam menentang pihak
Kristian atau lebih dikenali sebagai tentera Salib kerana mereka memakai
pakaian yang berlambang salib serta membawa palang-palang salib yang besar
ketika berperang.Siri peperangan ini telah dicatatkan di dalam sejarah sebagai
Perang Salib.
Perang Salib
Perang Salib mempunyai
beberapa siri.Ada yang mencatatkan sebanyak 7 kali peperangan Salib pernah
berlaku.Perang Salib yang pertama berlaku ketika penawanan Baitul-Maqdis oleh
tentera Salib. Ketika itu, pihak tentera Salib yang berjaya menguasai kota itu
telah menunjukkan sifat tidak berperikemanusiaan di mana kanak-kanak, perempuan
serta orang tua turut dibunuh, dan mayat-mayat mereka bergelimpangan di sekitar
kawasan.
Perang Salib kedua berlaku
yang mana peperangan ini turut digelar sebagai peperangan Hittin. Pertempuran
ini telah berlaku di kaki bukit Hittin di Tiberias di antara tentera Islam
pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi sendiri dan tentera Salib yang dipimpim oleh raja
Kristian yang memerintah Jerusalem serta beberapa pembesar Kristian yang lain
seperti Guy dari Lusignan dan Raynald dari Chatillon. Peperangan ini meletus
selepas tentera Salib yang dipimpin oleh Raynald dari Chatillon menyerang
sekumpulan kabilah Arab yang dalam perjalanan untuk menunaikan haji.Peristiwa
ini telah mencetuskan kemarahan Salahuddin Al-Ayyubi dan menjadi titik tolak
kepada penawanan semual Baitul-Maqdis. Dalam peperangan ini, Guy dari Lusignan,
Raynald dari Chatillon dan beberapa pemimpin Kristian yang lain telah berjaya
ditawan oleh tentera Islam. Salahuddin sendiri telah menghukum pancung Raynald
dari Chatillon atas kebiadaban beliau menyerang kabilah Arab tersebut. Namun,
para pemimpin Kristian yang lain telah dibenarkan pulang dan tidak
diapa-apakan.
Penawanan Baitul-Maqdis
Setelah hampir 88 tahun
(ada menyebut 92 tahun) kota Baitul-Maqdis dikuasai pihak Kristian, pada
tanggal 27 Rejab, 583 Hijrah (1187 Masihi), Salahuddin bersama tentera Islam
pimpinannya telah berjaya memasuki kota Baitul-Maqdis. Laungan
"Allahhuakhbar" telah bergema menguasai persekitaran langit dan bumi
ketika itu.Betapa besarnya kejayaan yang telah diperolehi tentera Islam
pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi ketika itu.
Perang Salib Ketiga
Perang Salib Ketiga telah
meletus setelah berita kejayaan Salahuddin Al-Ayyubi menguasai Jerusalem sampai
ke pengetahuan para pemimpin Kristian yang lain. Para panglima besar Kristian
serta raja-raja Kristian yang lain telah bersekutu di bawah panji Salib untuk
menggempur kembali serta menawan semula Jerusalem. Antara mereka termasuklah
beberapa nama besar dunia Kristian seperti raja Richard berhati Singa iaitu
raja England serta Philip Augustus iaitu raja Perancis dan juga Fredrick
Barbossa iaitu raja Jerman. Kesemua tentera di bawah pimpinan raja-raja ini
telah bergerak dan menggempur kota Jerusalem.
Namun, tentera Islam yang
dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayyubi sedikitpun tidak gentar bahkan mereka tetap
berjuang bersungguh-sungguh mempertahankan kota Jerusalem dari jatuh ke tangan
pihak Kristian. Peperangan ini telah berlanjutan dan memakan masa selama hampir
lima tahun. Setelah kedua-dua pihak menjadi letih dan lesu akibat peperangan
yang tidak kunjung tiba penamatnya, satu perjanjian telah dibuat pada tahun
1192 Masihi di antara Salahuddin Al-Ayyubi dan pihak Kristian yang dinamakan
Perjanjian Ramla. Perjanjian ini telah mengakui bahawa Salahuddin sebagai
pemerintah Jerusalem yang sah dan seluruh Jerusalem dikuasainya kecuali sebuah
bandar iaitu Acra dikuasai oleh pihak Kristian.
IKTIBAR DARI SEJARAH SALAHUDDIN AL-AYYUBI
Salahuddin Al-Ayyubi tokoh dan insan pejuang bagaikan pelita yang menerangi kegelapan.Keharuman namanya menghiasi setiap bibir umat bahkan di bibir musuh-musuh Islam. Malamnya dihiasi dengan munajat, manakala siangnya bagaikan singa di medan perjuangan. Kejayaannya merampas kembali Baitul Maqdis dari tentera salib terpahat dalam sejarah sebagai lambang kejayaan menundukkan musuh yang kejam.
Salahuddin merupakan tokoh reformasi yang mengajar kita betapa perjuangan dilakukan atas nama etnik sekali-kali tidak membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan atas nama Islam sahaja yang akan memperolehi kejayaan yang gemilang. Pembaharuan pemikiran dan perjuangan yang digerakkannya merupakan sumber inspirasi bagi umat Islam dalam membina jatidiri demi mencapai kemenangan.