Taharah
/ Bersuci
Definisi :
Dari segi bahasa : Suci dan bersih
Dari segi istilah syarak : Suci dan bersih
daripada najis atau hadas.
Taharah / Bersuci ialah anak kunci dan syarat sah solat.
Hukum taharah / bersuci ialah WAJIB di atas tiap-tiap
mukallaf lelaki dan perempuan..
Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah
sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud :
" Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan
kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya... "
Rasulullah
s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
"
Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan "
Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang
itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.
Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana
semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan
menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di
dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t.
Faedah melakukan taharah ialah supaya badan
menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan
kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.
Syarat wajib taharah / bersuci ialah :
- Islam
- Berakal
- Baligh
- Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
- Tidak lupa
- Tidak dipaksa
- Berhenti darah haid dan nifas
- Ada air atau debu tanah yang suci.
- Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.
Taharah / Bersuci adalah sebagai bukti bahawa Islam amat
mementingkan kebersihan dan kesucian.
Ahli fiqh bersepakat mengatakan harus bersuci
dengan air yang suci (mutlaq) sebagaimana firman Allah:
"Dialah
yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira dekat sebelum kedatangan
rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih "
Selain itu, harus menggunakan kertas atau batu
ketika beristinja' dan tanah atau debu tanah sebagai ganti air bagi
mengharuskan solat yang dikenali sebagai tayammum.
Jelasnya, alat–alat untuk bersuci itu ialah:
Air mutlaq, iaitu air semata-mata tanpa
disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. Air mutlaq ini terbahagi
kepada beberapa bahagian:
Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi
kepada tiga, iaitu air hujan, air salji yang menjadi cair dan air embun.
Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi
kepada empat, iaitu air yang terbit daripada mata air, air perigi, air sungai
dan air laut.
Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan
untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. Firman Allah:
“Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan
mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri
masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub), terkecuali sekadar berlalu sahaja,
hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau dalam bermusafir atau kembali dari
tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak
mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah
mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. ”
(Surah Al-Nisa’,
4:43)
Samak, iaitu membuang bahan-bahan lebihan yang
melekat pada kulit dan yang merosakkannya sekira-kira jika direndam atau
dibasuh dengan air sesudah disamak, maka kulit itu tetap tidak busuk atau rosak.
Takhallul, iaitu arak bertukar menjadi cuka
tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya.
Rujukan Kitab :
- Kitab Mattlaal Badrain oleh Syeikh Muhammad bin Daud Al-Fatani
- Ringkasan Ibadah oleh Ibnu Rahmat .
- Kitab Minhajul Muslim oleh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi .
- Fiqh Syafii oleh Hj.Idris Ahmad S.H.