AKIDAH
Proses penciptaan manusia
Proses
pembentukan manusia bermula dengan percantuman antara benih lelaki dan benih
wanita dan perkara ini ada dinyatakan oleh Yang Maha Mencipta melalui
firmanNya;
“Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dari setetes mani yang bercampur yang Kami hendak
menguji (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar
dan melihat.” (Al-Insan: 2)
Manusia sering memikirkan untuk mencapai sesuatu
bagi memenuhi kehendaknya atau untuk kepuasannya. Manusia sering lupa hakikat
penciptaan mereka dan tujuan mereka diciptakan. Saya ada berkongsi tentang
beberapa matlamat hidup manusia
pada entry sebelum ini.
Ramai dikalangan manusia yang menjadikan
kesenangan hidup sebagai matlamat utama. Ada juga golongan yang hanya
menumpukan kepada keseronokan dan permainan yang sentiasa didorong oleh hawa
nafsu.
Penciptaan manusia bukan sia-sia
Penciptaan
manusia bukan suatu perkara yang main-main.
“Maka apakah kamu
mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan bahawa
kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (al-Mukminun: 115)
Sebaliknya Allah sedari awal telah mengingatkan kepada kita
bahawa setiap perbuatan kita akan disoal dan diminta pertanggungjawaban.
“Dan
janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran,
penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.”
(al-Isra’: 36)
Tujuan manusia diciptakan
Hakikatnya
tujuan penciptaan manusia adalah sebagai abdi kepada Allah dan khalifah di
bumi.
“ Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”
(adz-Dzariyat: 56)
Pangkat ‘Hamba’ merupakan pangkat yang diberikan
oleh Allah, tuan dan pemilik segala-galanya. Pangkat datuk, tun, tan sri, prof,
dr, sultan dan sebagainya hanyalah pangkat ciptaan manusia di dunia yang tidak
kekal.
Seorang hamba perlu taat dan patuh kepada semua
arahan tuannya, lebih-lebih lagi jika diberi dan dikurniakan dengan segala
macam bantuan, kemudahan dan keamanan oleh tuannya. Oleh itu, kita mesti
melakukan segala arahan dengan penuh pengertian bahawa kita menyerahkan
segala-galanya kepada tuan kita.
Kata kunci ‘penyerahan’ ini yang menjadi
intipati kepada Islam iaitu penyerahan secara keseluruhan terhadap Allah.
Mereka yang dipandang oleh Allah dengan pangkat ‘Hamba’ ini pasti beroleh
keuntungan di dunia dan di akhirat.
Tanggungjawab sebagai abdi merupakan suatu tanggungjawab
individu atau fardhu ain. Ia meliputi kepada kemestian untuk memahami
lapangan akidah dan tauhid, syariat dan akhlak.
Allah juga membebankan manusia dengan taklifan
sebagai khalifah. Dari segi bahasa, khalifah bermaksud pengganti. Ia
menjelaskan bahawa Allah mengamanahkan manusia sebagai ‘pengganti’ untuk
mentadbir bumi dengan merujuk kepada manual dan panduan daripadaNya.
“Dan (ingatlah)
ketika Tuhan-mu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah
di bumi.” Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadi orang yang merosak dan
menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikanMu?”
Dia berfirman, “Sunggug Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. ” (al-Baqarah:
30 )
Amanah ini sangat besar dan berat. Perkara ini
merupakan suatu tanggungjawab sosial atau fardhu kifayah yang
perlu dilaksanakan bagi menjamin kehidupan yang harmoni, aman dan adil.
Ia meliputi segala aspek kehidupan seperti
cabang seperti memberi peluang pendidikan, memastikan bidang pertanian dan
penghasilan bahan makan yang halal lagi baik, menyediakan kemudahan kesihatan
serta tempat kediaman yang baik.
Disamping itu, lapangan yang besar juga perlu
ditekankan seperti keselamatan dengan bantuan pihak polis, tentera dan badan
sukarela di kalangan masyarakat. Bidang perundangan adalah sangat penting bagi
menjamin keadilan dilaksanakan tanpa mengikut tafsiran sempit manusia yang
berkepentingan sebaliknya perlu bersandarkan acuan daripada Tuhan pencipta
manusia.
Maka tiada alasan bagi manusia untuk memisahkan
agama dalam kehidupan ini. Setiap perkara dalam aspek kehidupan manusia perlu
dikaitkan dengan agama dan kembali kepadaNya. Dengan memahami bahawa tujuan
kita diciptakan dan bebanan yang sangat besar ini, kita wajar berhati-hati
dalam melakukan setaip perkara kerana memikirkan balasan yang akan diberikan di
akhirat kelak.
“Setiap dari kamu
merupakan pemimpin dan setiap dari kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu
pimpin.” (hadis riwayat Bukhari no. 893 dan Muslim no. 1829)