ISU-ISU DALAM PELAKSANAAN
IBADAH
THARAH
Taharah amat penting dalam Islam sama ada taharah
haqiqi, iaitu suci pakaian, badan dan tempat sembahyang daripada najis
ataupun taharah hukmi, iaitu suci anggota wudu' daripada hadath, dan
suci seluruh anggota zahir daripada janabah (junub); sebab ia menjadi syarat
yang berkekalan bagi sah sembahyang sebanyak lima kali sehari. Oleh kerana
sembahyang adalah perlakuan menghadap Allah S.W.T., maka menunaikannya dalam
keadaan suci adalah sebagai mengagungkan kebesaran Allah S.W.T. Walaupun hadath
dan Janabah bukanlah najis yang dapat dilihat, tetapi ia tetap merupakan najis
ma'nawi yang membawa kepada kotor tempat yang terkenanya. Oleh itu, apabila ia
ada, maka ia mencacatkan penghormatan dan berlawanan dengan prinsip kebersihan.
Untuk menyucikannya, maka perlulah mandi. Jadi, jelaslah taharah dapat
menyucikan rohani dan jasmani sekaligus.
Isu-isu yang berkaitan dengan wuduk, tayammum dan solat merupakan
perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh setiap muslimin dan muslimat
bagi menyempurnakan ibadat mereka.
WUDUK
Salah satu daripada syarat sah solat dan tawaf
adalah berwuduk. Oleh itu, setiap jemaah haji wajib mengetahui hukum-hakam
wuduk seperti fardu-fardunya, syarat-syarat sahnya, sunat-sunatnya dan
perkara-perkara yang membatalkannya. Jemaah yang tidak mengetahui
perkara-perkara tersebut mengundang risiko solat dan tawafnya menjadi tidak
sah. Apabila tawaf tidak sah, maka kesannya ibadat haji dan umrah turut menjadi
tidak sah. Ini kerana tawaf adalah salah satu daripada rukun-rukun haji dan
umrah. Antara kesilapan yang dapat dikesan tentang kesilapan berwuduk di
kalangan jemaah adalah membasuh muka dengan tidak sempurna, iaitu hanya
membasuh bahagian depan muka sahaja, tidak diratai keseluruh bahagian muka.
Sedangkan batasan muka yang wajib dibasuh adalah dari tempat tumbuh rambut di
sebelah atas sehingga sampai kedua tulang dagu sebelah bawah dan lintangannya
adalah dari anak telinga hingga ke anak telinga yang satu lagi.
Penyakit selalu berhadath
Dalam beberapa kes, terdapat jemaah yang selalu
berhadath atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit
kencing yang sentiasa menitis, luka atau bisul yang sentiasa mengalir,
istihadah, buasir dan batuk lalu terkencing. Jemaah berkenaan perlu mengetahui
beberapa hukum-hakam yang berkaitan dengan diri mereka. Beberapa peraturan dan
panduan perlu diikuti apabila mahu melakukan solat dan tawaf :
- Apabila masuk waktu solat, hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera menunaikan solat.
- Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk solat seperti menutup aurat, perjalanan ke masjid, menunggu jemaah, menunggu iqamah dan penentuan arah kiblat. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya.
- Setiap kali hendak berwuduk, wajib ditukar balutan (bagi luka atau bisul) atau lampin dan seumpamanya (bagi istihadah, buasir dan kencing yang sentiasa menitis) dengan yang baru.
- Setiap kali wuduk hanya untuk satu ibadat fardu sahaja tetapi boleh untuk beberapa ibadat sunat.Cara berniat ketika mengambil wuduk : "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan solat/tawaf".
Dalam keadaan tertentu, terdapat jemaah yang
mengalami kecederaan yang memerlukan sebahagian anggota wuduknya dibalut atau
ditampal dengan simen. Balutan dan simen tersebut menghalang air daripada
sampai ke kulit. Jika balutan dan tampalan itu pada anggota wuduk, dia
hendaklah berwuduk seperti biasa dan hanya menyapu air pada balutan tersebut.
Dia digalakkan mengqadakan solat-solatnya setelah dia sembuh. Pandangan ini
merupakan pendapat kedua dalam Mazhab Syafie dan telah diterima pada Muzakarah
Haji Peringkat Kebangsaan ke-20.
Dalam kes yang lain pula, terdapat jemaah yang
terlantar di hospital yang langsung tidak dapat bergerak. Apabila masuk waktu
solat, dia tidak dapat memperolehi bantuan daripada petugas hospital untuk
membantunya berwuduk. Maka dalam keadaan ini, selama mana dia masih lagi ada
akal, dia tetap wajib menunaikan solat walaupun tanpa berwuduk sebagai
menghormati waktu. Solat-solat yang dilakukan dalam keadaan tersebut wajib
diqada selepas dia sembuh.
Isu Batal Wuduk Melalui Sentuhan Kulit
Antara isu yang sering menjadi keresahan di
kalangan jemaah adalah masalah batal wuduk apabila berlaku persentuhan kulit
antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram terutama sekali ketika tawaf.
Permasalahan ini telah diatasi apabila Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan
ke-21 telah memutuskan supaya jemaah beralih daripada pendapat yang masyhur
dalam Mazhab Syafie kepada pendapat marjuh. Pendapat marjuh ini mengatakan
bahawa tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan
perempuan tanpa syahwat. Ini bermakna jemaah boleh meneruskan tawaf walaupun
berlaku persentuhan kulit antara lelaki dan perempuan tanpa membatalkan wuduk.
Ruang lingkup pendapat marjuh ini boleh diperluaskan pengunaannya bermula dari
tempat penginapan (di Makkah sahaja) seterusnya hingga ketika di dalam Masjidil
Haram. Perkara ini juga boleh digunapakai ketika berada dalam keadaan masyaqqah
(kesulitan) seperti menaiki pesawat atau bas sepanjang tempoh mengerjakan haji
(kes ini boleh dipakai ketika berada di Makkah dan Madinah). Namun perlu
diingatkan bahawa pendapat ini sah digunapakai untuk tawaf dan sebagainya
selagi wuduk tidak terbatal mengikut Mazhab Syafie seperti keluar sesuatu
daripada qubul dan dubur.