A. APA ITU MUAFIQ DAN MASBUQ?
Muafiq:
Seorang ma’mum yang sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya,
di mana ia sempat berjamaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia
membaca al fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yg pertengahan di kalangan
uruf orang ramai , tidak berdasarkan kepada bacaan ma’mum itu dan juga tidak berdasarkan
kepada bacaan imam juga.
Masbuq:
seorang ma’mum yang tidak sempat berjamaah semasa berdiri imamnya sekadar masa
membaca al fatihah dengan bacaan yang pertengahan, tidak terlalu cepat dan
tidak terlalu lambat, malahan perhitungan bacaan fatihah itu tidak berpandukan
kepada bacaan imam dan tidak berpandukan kepada bacaan ma’mum itu bahkan
mengikut bacaan uruf orang ramai. Mana-mana ma’mum yang tidak sempat berjamaah
dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al
fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang masbuq.
B. BILA BERLAKU?
Ia boleh berlaku ke atas seseorang ma’mum kepada
empat rakaat sama ada pada rakaat pertama, rakaat kedua, rakaat ketiga, dan
seterusnya pada rakaat keempat.
C. HUKUM ORANG MUAFIQ
Hukum bagi orang muafiq dimaaf kepadanya
tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya.tidak termasuk rukun
yang pendek. Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang
pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahhud awal dan duduk antara
dua sujud.
D. CONTOH –CONTOH DAN GAMBARANNYA
- Seorang ma’mum yang muafiq sedang solat berjamaah, sebelum imam qiam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk.Maka ma’mum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.
- Seorang ma’mum yang muafiq sedang berjamaah sebelum imam duduk tasyahhud akhir ma’mum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.
Kedua-duanya contoh di atas menunjukkan bahwa ma’mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya, belum lagi masuk ke rukun keempat. Sebagaimana contoh-contoh di atas itu bahwa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara ma’mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada:
- Rukuk
- Sujud yang pertama
- Sujud yang kedua
- Jika seorang muafiq itu solat berjamaah , apabila imamnya sudah berada dalam qiam kedua untuk membaca al fatihah tetapi ma’mum berkenaan masih lagi berada di qiam pertama belum lagi habis bacaan fatihahnya, atau imam sudah berada di tasyahhud akhir sedangkan ma’mum masih lagi berada di qiam pertama dan fatihahnya belum selesai, hukum ma’mum demikian ialah batal solatnya, kecuali ia membuat dua pilihan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun keempat iaitu:
Pilihan pertama:ma’mum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan ia tambah satu rakaat lagi selepas salam imam, atau ;
Pilihan kedua: ma’mum berkenaan dikehendaki niat mufaraqah dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al fatihah dan rukun- rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai solatnya.
Jika ma’mum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun keempat iaitu qiam kedua atau tasyahhud akhir maka batal solat ma’mum itu dengan sampainya imam kepada rukun kempat sedangkan ia masih berada di rukun yang pertama; tetapi tidak mengapa jika sama-sama berpindah (selisih) iaitu ma’mum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiam kedua atau berpindah kepada tasyahhud akhir.
Sambungan...