Ibadah Aqiqah
PENGENALAN AQIQAH
Pengertian Aqiqah dari segi bahasa:
Aqiqah menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di
atas kepala bayi yang dibawanya waktu lahir.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i
dan Zamakhsyari.
Antara definisi lain;
Aqiqah menurut bahasa ertinya `memotong’ . Pada
asalnya ialah rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar
dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan dengan aqiqah kerana ianya harus
dipotong ( dicukur ).
Menurut Istilah pula aqiqah ialah Haiwan yang
disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan
itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur
rambut kepala bayi itu.
Pengertian Aqiqah Menurut Syara`:
Menurut istilah hukum syara’, aqiqah ialah
“penyembelihan haiwan tertentu untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau
memotong rambutnya dan diberi nama untuk anak itu.”
Antara pengertian lain;
Aqiqah dalam pengertian syara` ialah binatang
ternakan yang berkaki empat (bahimatul an`am) yang disembelih ketika hendak
mencukur rambut kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari
ketujuh atau selepasnya.
Dalam bahasa Arab, kata bahimatul an’aam (binatang
ternakan) adalah termasuk unta, lembu, kerbau,biri-biri,kibas dan kambing,
bukan yang lain. [Al Jabari, 1994]
SEJARAH ASAL-USUL IBADAH AQIQAH
Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa ” Pada zaman
Jahiliyyah, apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih
seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami
sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula
” Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah
aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang
baru saja dilahirkan itu.
Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak
dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w. Baginda saw menyuruh menggantikannya dengan
meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
HUKUM AQIQAH
Hukum melakukan aqiqah itu adalah sunat
mu’akkadah iaitu sunat yang sangat digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan
Nabi Muhammad saw ketika Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hassan dan Hussain
alaihimassalam. Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah
ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam, lalu Baginda saw
bersabda yang maksudnya :
“Allah tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah
Baginda tidak suka menyebut nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa
yang dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka
sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan bagi
anak perempuan seekor kambing.” [HR. Abu Daud]
Maksud hadis daripada perkataan (“suka atau ingin”
menyembelihkan untuk anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah,
melainkan jika aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib.
Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah
sunat muakkad.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Berserta anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah
darah untuknya, dan singkirkanlah sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR.
Tirmizi]
“Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang
disembelih pada hari ke tujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan
Tirmizi]
Rasulullah s.a.w. bersabda : ” Sesungguhnya
Rasulullah s.a.w menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari
ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini
adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
JENIS HAIWAN DAN KADAR AQIQAH
Haiwan yang digunakan untuk perlaksanaan ibadah
aqiqah perlu memenuhi syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk
ibadah korban.
- Kambing, biri-biri dan kibas – melebihi satu tahun
- Lembu dan Kerbau- melebihi dua tahun
- Unta- melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan ini hendaklah terdiri daripada
haiwan ternak(Bahimatul An’aam)-yang mempunyai empat kaki- dalam keadaan tidak
cacat, tidak buta, tidak bunting dan tidak terlalu kurus.
Menurut Imam Malik,Asy-Syafi’e,Ahmad dan jumhur
ulama’ , bahawa aqiqah adalah sah dengan penyembelihan haiwan empat
kaki(Bahimatul An-`aam) seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan
kibas (sama seperti ibadah korban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut
di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
- Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
- Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
- Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
- Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
- Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Manakala,rusa, kijang dan kancil tidak termasuk
dalam kategori Bahimatul An’aam.Maka ketiga-tiga haiwan tersebut(rusa,kijang
dan kancil) tidak dibolehkan untuk dijadikan sebagai haiwan aqiqah.
Yang lebih utama(Afdhal) untuk kadar aqiqah bagi
seorang anak lelaki ialah 2 ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor
kambing, kerana ada hadis riwayat Aisyah yang maksudnya:
“Rasullulah s.a.w. memerintahkan kepada kami
supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor kambing dan untuk
perempuan seekor.”
Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan baik untuk
anak lelaki mahupun anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang
bemaksud;
” Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor
kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” [HR. Ahmad &
Tirmizi].
Rasulullah bersabda; ” Rasulullah s.a.w telah
memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor
kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” [HR. Ibnu Abi Syaiban].
Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan
dua perkara;
Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan,
sama-sama syariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan 2
ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.
Walaubagaimanapun,anak lelaki
sebaik-baiknya(afdhal) diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing,manakala anak
perempuan pula seekor kambing. Akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi
tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut, ini kerana Rasulullah s.a.w.
sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan; ” Bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengaqiqah Hassan dan Hussain dengan satu ekor
biri-biri.” [HR. Abu Daud].
Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki ini
bukanlah merupakan suatu kemestian, kerana Rasulullah s.a.w telah membuat
aqiqah Hasan dan Husin, masing-masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta
boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Apabila ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah
anaknya, ketika berusia 7 hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari.
Kemudiannya ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya
hingga anak itu dewasa (baligh).
Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk
seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn
Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari
ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga
maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut
tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh
dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah
tersebut.
Rasulullah s.a.w bersabda; ” Seorang anak
terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta
diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi].
Apabila anak sudah dewasa, maka sunat bagi ibu
bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.
Menurut satu golongan, jika seorang anak sudah
dewasa, tetapi belum dibuat aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya
membuat aqiqah dirinya sendiri.