Kelahiran dan kehidupan beliau:
Nama beliau ialah
Al-Husain bin Abdullah bin Al-Hasan bin Ali bin Sina, manakala gelaran beliau
pula ialah Abu Ali.
Ibnu Sina dilahirkan
di Afsyinah iaitu nama sebuah kampung yang terletak berhampiran dengan Bukhara
di mana kini ia yang terletak di Republik Uzbekistan.
Ibnu Sina dibesarkan
di dalam sebuah keluarga yang agak teguh. Ayah beliau berasal dari Balakh
kemudian berpindah ke Bukhara pada zaman pemerintahan Al-Amir Nuh bin Mansur
dan tinggal di salah sebuah perkampungan kecil di Bukhara yang bernama
Khirmithan, walau bagaimanapun akhirnya beliau tinggal menetap di Afsyanah
kerana tempat tersebut hampir dengan tempat kerjanya. Dengan demikian bapa Ibnu
Sina mampu memberikan pendidikan yang unggul dan pengetahuan yang agak tinggi
kepada Ibnu Sina dan adik-beradik beliau jika dibandingkan dengan suasana yang
ada pada masa tersebut. Bapa beliau telah menyediakan seorang guru Al-Quran dan
seorang guru kesusasteraan menyebabkan Ibnu Sina dapat menghafal seluruh
Al-Quran dalam usia sepuluh tahun.
Pengajian ilmu
beliau:
Ibnu Sina banyak
mempelajari buku-buku kesusasteraan. Selepas mampu menguasai ilmu ini beliau
dihantar oleh bapa beliau kepada seseorang yang boleh mengajar ilmu matematik
kepada beliau. Kemudian Ibnu Sina mempelajari ilmu fekah, cara-cara membuat
penyelidikan dan perbahasan. Beliau juga mendalami ilmu tasawuf, mantik,
falsafah malah beliau tergolong di kalangan cendekiawan di bidang kedoktoran serta
terkemuka di dalam bidang tersebut sehingga ramai di kalangan pakar-pakar di
bidang kedoktoran yang datang mempelajari ilmu daripada beliau.
Ibnu Sina merupakan
seorang yang cekal di dalam menimba ilmu pengetahuan di mana beliau tidak akan
tidur pada waktu malam kecuali setelah beliau banyak membaca pada malam
tersebut, begitu juga beliau tidak akan tidur pada waktu siang kecuali setelah
beliau berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan pada hari tersebut. Beliau tidak
pernah ketinggalan dari menghadiri pengajian ilmu fekah dan falsafah sehingga
beliau memiliki cara tersendiri di dalam menyelesaikan pelbagai masalah.
Ibnu Sina berjaya
menguasai kesemua bidang ilmu dalam usia yang masih terlalu muda di mana ada
yang mengatakan usia beliau pada masa tersebut menjangkau usia enam belas tahun
atau lapan belas tahun.
Kemasyhuran dan
ketinggian ilmu beliau:
Tatkala Al-Amir Nuh
bin Mansur mengalami kesakitan, ramai doktor yang datang mengubatinya, sehinggalah apabila beliau mendengar nama dan
kemasyhuran Ibnu Sina, beliau memerintahkan agar memanggil Ibnu Sina supaya
dapat bersama-sama dengan para doktor yang lain untuk mengubati penyakit
Al-Amir. Lantas Ibnu Sina berusaha mengubati penyakit Al-Amir sehinggalah
beliau sembuh. Sebagai ganjaran di atas usaha tersebut, Al-Amir mengizinkan
beliau untuk menggunakan perpustakaan yang terdapat di Istana. Setelah itu Ibnu
Sina membaca kesemua kitab-kitab yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.
Ibnu Sina memulakan
pengembaraan beliau selepas berlaku kekacauan di dalam pengurusan kerajaan
As-Samaaniah. Lalu beliau keluar dari Bukhara menuju ke sebuah tempat yang
bernama Karkang. Ketika itu Ibnu Sina sentiasa memakai pakaian fukaha
menyebabkan beliau dihormati oleh Amir Khawarizmi. Kemudian beliau berpindah ke
Jarjan dan Khurasan. Walau bagaimanapun setelah beberapa ketika Ibnu Sina
meninggalkan kedua-dua negara tersebut menuju ke Dahastan kemudian kembali
semula ke Jarjan dan bertemu dengan Juzjani. Di Jarjan kedudukan Ibnu Sina
dipandang tinggi, di mana beliau telah dilantik menjadi menteri kepada Syamsu
Ad-Daulah di negeri Hamdan sebanyak dua kali, walaupun demikian beliau tidak
pernah berhenti menulis, mengajar dan mengarang. Beliau mula mengajar
murid-murid beliau pada awal waktu malam, memberikan catatan buku yang beliau
hafal kepada mereka manakala pada waktu pagi pula beliau bertolak ke pejabat
Kementerian tempat beliau tugaskan.
Karangan Ibnu Sina:
Buku yang dikarang
oleh Ibnu Sina adalah menjangkau sebanyak 250 buah termasuk kitab, esei dan
artikel di dalam bidang matematik, mantik, akhlak, fizik, kedoktoran dan
falsafah.
Pencapaian Ibnu Sina
yang dianggap paling menonjol ialah pencapaian beliau di dalam bidang
kedoktoran di mana beliau telah mengarang kitab beliau yang bernama Al-Qanun
yang menggariskan beberapa catatan terperinci seperti hubungannya dengan
penyakit batuk kering, penyakit paru-paru yang lain serta menyatakan peranan
air dan debu di dalam memindahkan jangkitan penyakit di samping mengaitkan
penyakit dengan unsur-unsur psikologi, tekanan perasaan dan beberapa penyebab
penyakit yang sangat luar biasa.
Kitab Al-Qanun telah
diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa Eropah dan terus dijadikan sebagai bahan
penyelidikan di beberapa buah universiti di Eropah selama empat kurun berturut-turut.
Ibu Sina juga telah
memberi sumbangan di dalam ilmu fizik sebagaimana yang ditulis di dalam
kitabnya Asy-Syifa', An-Najah dan Al-Isyarah.
Kewafatan Ibnu Sina:
Walaupun Ibnu Sina
salah seorang yang mengutamakan ilmu kedoktoran tetapi beliau tidak mengambil
berat kepada kesihatan diri beliau menyebabkan beliau menghadapi pelbagai
penyakit sehinggalah kekuatannya menjadi semakin lemah dan akhirnya beliau mati
pada tahun 428 Hijrah / 1037 Masihi di negeri Hamdan.