Sejarah
Ringkas Kebangkitan & Kejatuhan Kerajaan Islam Uthmanniyah
PENDAHULUAN
Pemerintahan Islam pernah menjadi
kuasa besar yang mencorak lanskap pentadbiran dunia selama hampir 14 abad
semenjak zaman Rasulullah SAW. Islam tersebar dengan agak pantas, menguasai
seluruh Jazirah Arab, seterusnya meluas ke Al-Syam (Jordan,Lubnan,Palestin
& Syria), Utara Afrika, Iraq, Parsi, Eropah dan juga Asia termasuklah Alam
Melayu.
Kerajaan Uthmaniyyah mula terkenal
dan bertambah kukuh apabila Kota Constantinople telah ditakluk oleh Muhammad
al-Fatih (1432-1481). Penaklukan kota ini oleh umat Islam telah membawa erti
sebuah kejayaan yang besar iaitu menewaskan pihak yang menjadi seteru kepada
Islam. Ia menjadi lambang kejatuhan empayar yang terkenal iaitu Empayar
Byzantine (Rome) yang berteraskan Kristian. Empayar Rome Byzantine dan Empayar
Parsi adalah antara empayar yang berjaya ditakluk oleh Islam. Kejatuhan Empayar
Byzantine juga telah membuka ruang dakwah yang luas untuk Islam terus tersebar
di Eropah, terutama Eropah Timur.
Pemerintahan kerajaan Islam Uthmaniyyah
bermula pada akhir abad ke-13. Pemerintahan ini boleh dibahagikan kepada
beberapa fatrah, seperti berikut :
1.
Peringkat awal penubuhan (1299-1453)
2.
Perkembangan dan pengukuhan
(1453-1682)
3.
Perkembangan mendatar, kebangkitan
nasionalisme dan cabaran pihak Barat (1683-1827)
4.
Kemerosotan dan kejatuhan
(1828-1908)
5.
Pembubaran pemerintahan (1908-1924)
Buku
Baldatun Toyyibah : Model Uthmaniyyah
BERMULANYA PEMERINTAHAN UTHMANIYYAH
Pada peringkat awal, penubuhan
kerajaan Islam Uthmaniyyah telah diasaskan oleh Osman I (Osman Ghazi Khan).
Beliau pada awalnya telah memimpin pasukan tenteranya untuk membebaskan diri
daripada kerajaan Saljuk (1299). Bermula itulah beliau membentuk sistem
pemerintahan tersendiri yang menjadi pewaris kepada kekhalifahan yang
memerintah Turki. Beliau mengisytiharkan diri sebagai sultan yang berkuasa ke
atas pemerintahan dinasti tersebut.
Golongan Byzantine mengambil
pendirian untuk meninggalkan kependudukan mereka menuju ke perkampungan countryside
dalam negara seperti Anatolia. Byzantine cuba sedaya upaya menghalang Osman
meluaskan kekuasaannya ke Barat tetapi, Osman berjaya menguasai beberapa
wilayah barat sepertii Eupheses (Berhampiran Laut Aegen). Pasukan beliau juga
turut bergerak untuk menguasai sebelah timur Anatolia, di mana mereka telah
berjaya menguasai Laut Hitam, kawasan startegik bagi Byzantine.
Misi terakhir Osman sebelum
kematiannya telah menentang tentera Byzantine di Bursa (1324). Kemenangan Islam
membuktikan Islam boleh menewaskan pasukan bukan Islam di kawasan kubu kuat
mereka. Anak yang mewarisi kepimpinan Osman ialah Orhan, telah menjadikan Bursa
sebagai pusat utama pemerintahan mereka.
PERKEMBANGAN DAN PENGUKUHAN
Semasa era ini, perkembangan
kerajaan Uthmaniyyah boleh dibahagikan kepada dua kategori :
1.
Kejayaan penaklukan Kota
Constantinople (1453) sehinggalah Sultan Sulaiman Al-Qanuni meninggal pada
1566.
2.
Kelemahan struktur pentadbiran pasca
1566 sehinggalah kegagalan menguasai Vienna pada tahun 1683.
Kota Constantinople menjadi jambatan
penghubung di antara Islam dan Barat, Asia dan Eropah. Sebelum ianya ditakluk,
pihak Uthmaniyyah telah menguasai beberapa wilayah penting di rantau Balkan.
Antaranya ialah kejayaan dalam peperangan Kosove (1389). Kejayaan tersebut
menandakan berakhirnya kuasa Serbia yang merupakan salah satu dari kuasa Eropah
yang ada. ia merupakan kemenangan yang strategik bagi membuka jalan ke atas
pembukaan Kota Constantinople.
Pada Peperangan Nicopolis (1396),
yang dianggap sebagai peperangan berskala besar, pihak tentera salib menentang
Uthaminyya, tidak dapat menyekat kemaraan Uthamniyyah menguasai wilayah-wilayah
yang berada di bawah Byzantine. Pihak Byzantine agak lega sedikit kerana
Kerajaan Uthmaniyyah di sebelah Anatolia mengalami pergolakan di mana Timur (Juga
dikenali sebagai Tamerlane, sebuah kuasa dari sebelah Timur yang wujud pada
abad ke-14 di Asia Tengah. Mereka mempunyai kaitan jalur yang panjang dengan
Dinasti Mughal) telah menjajah Anatolia dalam peperangan Ankara (1402),
menyaksikan Sultan Beyazid I telah dipenjara. Ini menyebabkan sebahagian
wilayah yang dikuasai Uthmaniyyah jatuh buat sementara, antaranya Macedonia dan
Kosovo. Pergolakan itu menyebabkan perancangan penguasaan ke atas
Constantinople mengalami gangguan.
Pasukan tentera Uthamniyyah turut
bersaing dengan kuasa Eropah lain di Lautan Hindi. Mereka pernah menghantar
pasukannya melalui jalan laut Afrika dan juga ke Aceh di Indonesia untuk
mempertahankan wilayah tersebut dari serangan pihak yang tidak
bertanggungjawab.
Dari aspek pemerintahan, Sultan
Murad I dalah sultan Uthmaniyyah pertama yang menggunakan gelaran 'sultan' ,
manakala mulai tahun 1517, sultan di kalangan pemerintah Uthmaniyyah turut
menjadi khalifah kepada umat Islam dengan pelbagai gelaran yang digunakan bagi
menunjukkan kekuasaan mereka dalam pentadbiran.
Zaman kegemilangan Utmaniyyah
berterusan di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman Al-Qanuni (1520-1566), beliau
merupakan :
1.
Pemerintah paling lama dalam sejarah
kesultanan Uthmaniyyah. Beliau banyak melakukan perubahan terutama dari aspek
perundangan sehingga beliau mendapat gelaran al-Qanuni,pembuat undang-undang.
2.
Beliau turut berjaya memimpin
pasukan Uthmaniyyah menguasai wilayah Byzantine seperti Hungary, Balgrade dan
Rhodes.
3.
Beliau berjaya memperkasa armada
laut dengan menguasai Laut Mediterranian, Laut Merah dan teluk Parsi.
Perkembangan
pada zaman kedua iaitu zaman kemunduran bermula apabila pihak Uthmaniyyah tidak
berjaya menawan Vienna (1683) di Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni yang
menyebabkan mereka terpaksa berundur dari sebahagian wilayah di Eropah tersebut.
Kekalahan itu juga membuka jalan kepada Kristian untuk merencana tindakan baru
bagi berdepan dengan Uthmaniyyah. Antaranya Paus yang memimpin kelompok
Kristian Katolik di Rome dalam usaha membentuk pasukan tentera salib baru bagi
tujuan menentang tentera Uthmaniyyah. Beliau mencetuskan kebangkitan semangat
anti Islam agar golongan salib bengun menentang penguasaan islam dan Kerajaan
Uthmaniyyah tersebut.
ZAMAN MENDATAR DAN KEBANGKITAN
NASIONALISME
Antara faktor yang menjadikan
pengembangan yang dilakukan oleh Uthmaniyyah tidak aktif ialah :
1.
Kekalahan menguasai Vienna (1683).
2.
Penglibatan mereka di dalam
peperangan yang menelan belanja besar.
Mereka turut mengalami kekalahan
dalam siri-siri peperangan di Eropah seperti :
1.
Peperangan menentang
Poland-Lithuania.
2.
Rusia & Autria-Hungary
3.
Peperangan Kerajaan Uthmaniyyah
dengan Rusia berlangsung selama 3 abad (kurun 17,18 & 19)
Kemenangan yang didambakan tetapi
kekalahan yang terpaksa diharungi amat memeritkan pemerintahnnya lantaran kos
persenjataan yang amat tinggi.
Pada awal abad ke 18, pihak
Uthmaniyyah membuat satu perjanjian yang dikenali sebagaiPerjanjian Passarowitz
, di mana ia telah mewujudkan suasana yang aman pada tahun suasana yang aman
pada tahun 1718-1730 (selama 12 tahun). Melalui perjanjian ini, mereka berupaya
mendirikan benteng pertahanan di sekitar negara Balkan bagi menyekat serangan
pihak Eropah ke atas wilayah Uthmaniyyah. Mereka mula menukar pendekatan
pemerintahan dengan mengemukakan polisi mesra rakyat dengan mengambil kira
pandangan masyarakat umum, mengurangkan cukai, meningkatkan taraf infrastruktur
awam, dan bermacam-macam lagi.
Pihak Uthmaniyyah juga melakukan
pembaharuan terhadap sistem pendidikan dengan memperkenalkan institusi
kemahiran seperti Universiti Teknikal Istanbul dan lain-lain. Namun begitu,
mereka tidak dapat menandingi kemajuan teknologi yang telah meletus di Barat.
Rentetan dari itu, banyak wilayah Uthmaniyyah yang telah tewas kepada Barat
terutama kepada Rusia dan Austria pada abad ke-18.
Selain itu kerajaan Uthmaniyyah
turut mempunyai masalah dalaman wilayah-wilayah Islam lain yang berada di bawah
pemerintahannya, mereka menghadapi kebangkitan umpamanya dari Egypt dan
Algeria, tetapi kedua-dua negara ini telah dijajah pula oleh British dan
Perancis.
Mereka turut terpaksa berhadapan
dengan kebangkitan di negara-negara Balkan seperi Revolusi Serb (1804-1815.
Revolusi ini menjadi pengasas kepada kebangkitan menentang Uthmaniyyah. Pada
tahun 1821, mereka terpaksa pula berdepan dengan pengisytiharan perang terhadap
Sultan oleh Greek. Mereka berjaya menjadi wilayah pertama di bawah Empayar
Uthmaniyyah yang dibebaskan.
Kebangkitan nasionalisme berteraskan
bangsa telah menyebabkan Kerajaan Uthmaniyyah tidak mampu untuk mengendurkan
ketegangan satu demi satu wilayahnya menuntut untuk bebas dan keluar dari
pemerintahan Uthmaniyyah. Ini termasuk dalam kes negara Saudi Arabia di mana
pemimpinnya pada waktu tersebut Sharif Husin ditawarkan dengan pemerintahan
sebagai ganti kepada pemberontakan untuk bebas dari Uthmaniyyah. Namun diskusi
Sharif Husin dengan Mc Mohan di Egypt hanya menjadi bahan ketawa setelah
kelicikan pihak British telah mempersendakan intelek masyarakat Arab. Golongan
Arab ini mudah dipermainkan oleh musuh yang suka memberi janji palsu.
ERA KEJATUHAN DAN PROSES MODENISASI
(TANZIMAT)
Dalam era ini, empayar Uthmaniyyah
terpaksa berhadapan dengan cabaran hebat untuk berdepan dan menghadapi
tentangan, serangan dan penjajahan dari kuasa luar. Uthmaniyyah juga banyak
terlibat dalam kerjasama membentuk pasukan pertahanan dengan kuasa-kuasa lain
dari sebelah Eropah seperti kerjasama dengan Perancis, Belanda, Britain dan
Rusia. Contohnya, ketika Peran Crimea (1853), Uthmaniyyah membentuk pasukan
bersama dengan Britain dan perancis dalam menentang Rusia.
Ada sebahagian penduduk Crimea ini
yang juga dikenali sebagai Crimean Tartar, berhijrah ke Turki untuk mendapatkan
perlindungan. Mereka terus berada dan tinggal di situ. Mereka turut terlibat di
dalam membangunkan Turki dan membantu dalam proses modenisasi pendidikan yang
dilakukan pada akhir abad ke-19.
Proses penyusunan semula dan
pembaharuan (tanzimat) sekitar tahun 1839-1876, bermula dengan satu polisi
rasmi yang dikenali sebagai The Imperial Rescript of The Rose Chamber of
1839. Ia merupakan permulaan kepada reformasi di bawah proses tanzimat
ketika pemerintahan Sultan Abdulmecid I dari tahun 1839-1861. Ia juga penanda
penting perubahan sistem pentadbiran kepada sistem yang lebih sekular.Polisi
ini menghapuskan cukai pertanian. ia menjadikan para askar mengawal sesuatu
wilayah berdasarkan jumlah penduduk. Secara ringkasnya ia telah membentuk
kehidupan sosial baru dalam kalangan masyarakat.
Mereka turut memasukkan jaminan
hak-hak asasi seperti jaminan samarata (equality) kepada semua penduduk
Uthmaniyyah tanpa mengambil kira soal bangsa dan kepercayaan agama. Polisi ini
menghapuskan sistem millet dalam empayar Uthmaniyyah. Sistem Millet adalah
sistem sosial yang berteraskan kepada agama seseorang., di mana setiap komuniti
agama diberi kebebasan autonomi untuk bergerak, adakalanya mendapat perhatian
istimewa, berdasarkan rumah ibadat yang mereka anggotai.
Proses ini dicetuskan oleh Sultan
Mahmud II yang memerintah dari tahun 1808-1839, diteruskan oleh Sultan
Abdulmecid I, dengan harapan dapat membawa kebaikan dan faedah daripada
pengurusan yang cekap ke seluruh wilayah di bawah kerajaan Uthmaniyyah.
Antaranya :
1. Pihak Uthmaniyyah berjanji menjaga
penduduknya dengan jaminan keselamatan, kesejahteraan diri dan harta.
2.
Memperkenalkan wang kertas pertama
Uthmaniyyah (1840).
3.
Menyusun semula ketenteraan, kaedah
pengambilan, gaji dan penentuan tempoh khidmat (1843-1844)
4.
Memperkenalkan lagu kebangsaan dan
bendera negara (1844)
5.
Menyusun semula sistem kewangan
berdasarkan model Perancis.
6.
Menyusun semula Undang-undang sivil
dan jenayah mengikut model Perancis
7. Mewujudkan Meclis-i Maarif-i Umumiye
(1845) yang menjadi dasar penubuhan Parlimen Uthmaniyyah Pertama (1876)
8.
Mendirikan universiti moden yang
pertama (1848)
9.
Menghapuskan Jizyah ke atas
non-Muslim, dengan memperkenalkan sistem cukai bersepadu (1856)
10. Mewujudkan Bursa Saham di Istanbul
pada 1866
11. Mendirikan jalan-jalan keretapi,
pemodenan kilang industri, pelbagai penambahbaikan dalam perkhidmatan awam dan
kemajuan perdagangan.
Perlembagaan Pertama Uthmaniyyah ini
ditulis oleh 'golongan muda Uthmaniyyah' pada tahun 23 November 1876 sehingga
13 Februari 1878. Ia tidak melibatkan sistem parti. Pada masa tersebut,
parlimen dilihat sebagai tempat untuk menyuarakan pandangan dan hasrat rakyat,
bukan tempat untuk parti politik atau pertubuhan untuk berbahas. Sebab itulah
dalam sistem demokrasi moden, apa yang dibuat oleh Uthmaniyyah ini mirip kepada
Monarki Berpelembagaan, bukan sistem perwakilan rakyat.
Idea-idea kumpulan ini tidak
disenangi sesetengah pihak sehingga kewujudan Young Ottomans terpaksa
diharamkan. Sultan Abdul Hamid II yang pada awalnya menerima idea Perlembagaan
Pertama, menolak kembali idea-idea tersebut. Selepas dari itu, kumpulan
intelektual ini terus mencari idea untuk membantu Kerajaan Uthmaniyyah, di mana
terbentuknya kumpulan yang dikenali sebagai Young Turks. Mereka memikirkan
polisi-polisi untuk negara sehinggalah kerajaan Uthamniyyah menyertai Perang
Dunia I.
AWAL ABAD KE 20 : ZAMAN TENAT DAN
PEMBUBARAN PEMERINTAHAN
Kebangkitan Arab (Arab Revolt) yang
berlaku pada tahun 1916, menyaksikan kerajaan Uthmaniyyah kehilangan kawalan ke
atas wilayahnya di negara Arab terutama di Jazirah Arab (Saudi) . Ketika
perjanjian pembahagian wilayah kepada kuasa-kuasa besar dilakukan pada 30
Oktober 1918, sebahagian wilayah di Semenanjung Arab yang masih berada di bawah
Uthmaniyyah hanyalah Yaman, Asir, Mdinah, sebahagian kecil Syria dan sebahagian
kecil Iraq.
Perjanjian
ini seakan-akan suatu paksaan ke atas Kerajaan Uthmaniyyah untuk mengiktiraf
satu perjanjian sulit yang dilakukan oleh United Kingdom, Perancis dan Rusia
pada tahun 1916, iaitu Perjanjian Sykes-picot. ia adalah perjanjian sulit untuk
membahagi-bahagikan wilayah di bawah Uthmaniyyah kepada kuasa-kuasa tersebut,
termasuklah Palestin. Ia dibuat ketikamana Sir Mc Mohan, wakil British di Mesir
menghubungi Sharif Hussain di Mekah untuk menjayakan Arab Revolt, dengan
menjanjikan wilayah pentadbiran Jazirah Arab untuk beliau. Namun, sebaliknya
berlaku kerana British terlibat dalam perjanjian rahsia tersebut. hasilnya,
selepas Arab Revolt, Sharif Hussain pula yang terpaksa keluar dari negaranya ke
Jordan.
Lakaran
Wajah kesemua 36 Sultan Kerajaan Uthmaniyyah
Secara ringkas, kejatuhan Kerajaan
Uthmaniyyah boleh digambarkan berpunca daripada beberapa perkara, antaranya
seperti berikut :
1. Masalah ekonomi di mana kerajaan
Uthmaniyyah berhadapan dengan kesukaran untuk membayar kembali hutang mereka
dengan bank-bank Eropah.
2. Kebangkitan nasionalis
wilayah-wilayah tadbiran Uthmaniyyah termasuk di Negara Arab dengan tercetusnya
Kebangkitan Arab pada tahun 1916.
3. Perjanjian Sykes-picot 1916 yang
dibuat secara rahsia telah menjadi plan strategik pihak kuasa barat untuk
memecahbelahkan kerajaan Uthmaniyyah. Ini juga berlaku disebabkan kuasa-kuasa
Barat ini beranggapan Uthmaniyyah akan jatuh apabila tercetusnya Perang Dunia
Pertama pada tahun 1914.
4. Penyertaan Uthmaniyyah dalam Perang
Dunia Pertama. Mungkin mereka tidak mempunyai pilihan untuk tidak terlibat
kerana desakan untuk mempertahankan wilayahnya yang cuba dirampas. Selepas
Uthmaniyyah menandatangani persetujuan pada bulan Oktober 1914 untuk menyokong
Jerman menentang Rusia dengan sokongan dari United Kingdom.
Sultan Abdulmecid II menjadi sultan
terakhir dari dinasti pemerintahan Uthmaniyyah. Beliau sempat memerintah selama
17 bulan bermula 19 November 1922-3 Mac 1924. Ketika itu, tiada apa yang mampu
dilakukan setelah Republik Turki diisytiharkan dalam polisi negara mereka juga
telah berubah kepada mengadaptasikan sistem yang lebih terbuka, liberal dan
mengamalkan sekular. Agama tidak lagi menjadi perkara penting di dalam
pertimbangan sebarang polisi negara.
PENUTUP
Seperti membenarkan 'teori kitaran' Ibn Khaldun, Kerajaan ini mengalami kitarannya yang tersendiri. Setelah mengalami beberapa masalah, di samping kesukaran menjaga wilayah mereka yang luas tersebut, Uthmaniyyah mengalamai kemerosotan. Zaman tersebut telah diambil kesempatan oleh pihak kuasa Barat untuk bertindak semula mendapatkan wilayah-wilayah yang pernah jatuh ke tangan Uthmaniyyah. Kejatuhan Uthmaniyyah ini menandakan berakhirnya penguasaan empayar islam ke atas dunia. Cuma pengharapan kita agar kejatuhan ini adalah sementara, bukan 'syahid' yang tidak boleh bangkit lagi. Kebangkitan seterusnya perlukan perencanaan. ia mungkin sahaja berbeza bentuknya dengan penguasaan ke atas teknologi, perdagangan,pendidikan dan seumpamanya. Apa yang penting, sejarah ini perlu diambil iktibar, bukan semata-mata menjadi catatan yang tersemat di dalam buku.
PENUTUP
Seperti membenarkan 'teori kitaran' Ibn Khaldun, Kerajaan ini mengalami kitarannya yang tersendiri. Setelah mengalami beberapa masalah, di samping kesukaran menjaga wilayah mereka yang luas tersebut, Uthmaniyyah mengalamai kemerosotan. Zaman tersebut telah diambil kesempatan oleh pihak kuasa Barat untuk bertindak semula mendapatkan wilayah-wilayah yang pernah jatuh ke tangan Uthmaniyyah. Kejatuhan Uthmaniyyah ini menandakan berakhirnya penguasaan empayar islam ke atas dunia. Cuma pengharapan kita agar kejatuhan ini adalah sementara, bukan 'syahid' yang tidak boleh bangkit lagi. Kebangkitan seterusnya perlukan perencanaan. ia mungkin sahaja berbeza bentuknya dengan penguasaan ke atas teknologi, perdagangan,pendidikan dan seumpamanya. Apa yang penting, sejarah ini perlu diambil iktibar, bukan semata-mata menjadi catatan yang tersemat di dalam buku.